Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Nasib nelayan Portugis masih jadi tanda tanya

Jentera PH bersama nelayan Kampung Portugis meninjau perairan pesisir Selat Melaka di Ujong Pasir, 7 Nov 2026. - Foto Astro AWANI/Seth Akmal.
Jentera PH bersama nelayan Kampung Portugis meninjau perairan pesisir Selat Melaka di Ujong Pasir, 7 Nov 2026. - Foto Astro AWANI/Seth Akmal.
Advertisement

UJONG PASIR: Nelayan Kampung Portugis mengeluh apabila hasil tangkapan dan pendapatan mereka semakin berkurangan, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan projek tambakan laut di pesisir Melaka.

Mendapan lumpur turut menyukarkan bot keluar masuk melalui pangkalan asal, menyebabkan nelayan terpaksa menggunakan pangkalan sementara di Sungai Parit Cina, Ujong Pasir.

Bagi nelayan Kampung Portugis, Edward Marsh, pendapatan bulanannya kini jauh berbeza berbanding dahulu, meskipun sudah turun ke laut sejak kecil.

Advertisement

“Dulu, dalam sebulan kami masih mampu memperoleh antara RM3,000 hingga RM4,000. Tetapi sekarang susah. Bulan ini pun rasanya tidak sampai RM1,000,” katanya kepada Astro AWANI.

Edward mendakwa pasir daripada aktiviti tambakan menutupi kawasan makanan ikan, menyebabkan beberapa spesies semakin sukar ditemui berhampiran pesisir.

Advertisement

“Apabila pasir menutupi kawasan itu, makanan ikan pun hilang. Jadi ikan tidak lagi datang, termasuk ikan pari yang dahulu boleh ditemui berhampiran sini,” katanya.

Nelayan juga terpaksa menghabiskan lebih banyak masa di laut untuk mendapatkan hasil, sedangkan kos minyak, jaring dan penyelenggaraan bot tetap perlu ditanggung.

Image
[INSERT]_4 NELAYAN PORTUGIS_ASTRO AWANI_Seth Akmal
Struktur jeti di perairan Selat Melaka, berhampiran tapak projek Melaka International Cruise Terminal (MICT), Melaka Gateway. Astro AWANI/Seth Akmal.

Mahu pembangunan tidak jejaskan nelayan

Aktivis Komuniti Portugis, Martin Theseira berkata, penduduk tidak membantah projek sedia ada, namun bimbang jika lebih banyak konsesi tambakan laut diberikan.

“Kami tidak membantah projek yang sudah ada, tetapi kami membantah jika konsesi baharu diberikan untuk menjalankan kerja tambakan laut,” katanya.

Menurut Martin, pembangunan negeri tidak seharusnya mengorbankan kehidupan masyarakat setempat, khususnya nelayan yang bergantung kepada laut sebagai sumber pendapatan.

Beliau turut menggesa pemaju mematuhi segala syarat Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan pembangunan tidak menjejaskan penduduk dan ekosistem laut.

Martin menggesa dialog diadakan bersama nelayan Kampung Portugis, Duyong dan Parit Telok Mas sebelum sebarang pembangunan baharu dilaksanakan.

Image
[INSERT]_3 NELAYAN PORTUGIS_ASTRO AWANI_Seth Akmal
Martin menggesa pemaju mematuhi segala syarat Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Astro AWANI/Seth Akmal.

Sementara itu, penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Leng Chau Yen berkata, terdapat 49 nelayan berlesen di kawasan itu, dengan lebih 30 orang keluar ke laut setiap hari.

Menurutnya, kos sebuah bot dianggarkan sekurang-kurangnya RM50,000, tidak termasuk perbelanjaan minyak, jaring dan penyelenggaraan.

Chau Yen berpandangan projek sedia ada perlu dipastikan berjaya terlebih dahulu sebelum pembangunan baharu dirancang kerana setiap projek berpotensi memberi kesan kepada penduduk dan alam sekitar.

Komuniti Portugis mahu jaminan masa depan

Selain isu nelayan, wakil komuniti Portugis, Benial Dus De Silva turut membangkitkan kebimbangan mengenai masa depan penempatan masyarakat itu di Melaka.

Antara tuntutan yang disuarakan ialah supaya tanah penempatan komuniti Portugis diberikan status hak milik kekal atau freehold bagi menjamin kedudukan penduduk.

Menurutnya, jaminan pemilikan tanah penting bagi memastikan generasi akan datang dapat terus menetap di kawasan yang diwarisi daripada keluarga mereka.

“Kami mahu terus hidup di tepi laut kerana nenek moyang kami datang melalui laut. Kami mahu terus tinggal di tepi laut,” katanya.

Komuniti itu berharap pembangunan pesisir mengambil kira mata pencarian nelayan serta kelangsungan penempatan yang menjadi sebahagian daripada identiti mereka.

Image
[INSERT]_1 NELAYAN PORTUGIS_ASTRO AWANI_Seth Akmal
Kami mahu terus hidup di tepi laut kerana nenek moyang kami datang melalui laut, ujar Benial.

Penempatan sejak hampir satu abad

Untuk rekod, Kampung Portugis di Ujong Pasir diwujudkan sekitar 1930-an sebagai kawasan penempatan masyarakat berketurunan Portugis, khususnya keluarga nelayan.

Penempatan itu kini dianggarkan menempatkan kira-kira 1,500 penduduk termasuk kawasan pangsapuri berhampiran, berdasarkan laporan mengenai komuniti berkenaan pada 2025.

Masyarakat Portugis secara tradisinya beragama Kristian Katolik dan masih mengekalkan beberapa amalan kebudayaan serta perayaan warisan mereka.

Komuniti berkenaan mempunyai sejarah yang berkait dengan kedatangan Portugis ke Melaka pada 1511, sebelum penempatan khusus mereka diwujudkan pada zaman pentadbiran British.

Pembangunan pesisir Melaka

Rancangan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) meliputi kawasan sepanjang 33 kilometer pesisir Melaka sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan ekonomi negeri.

Sementara itu, South Gate Development Sdn Bhd turut mengemukakan cadangan projek tambakan laut seluas 63.41 ekar bagi pembangunan bercampur di Melaka Tengah.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini, nelayan dan komuniti Portugis berharap isu mata pencarian serta masa depan penempatan mereka mendapat perhatian pihak berkepentingan.


 

Must Watch Video

Advertisement