KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk menyusun semula peruntukannya bagi tahun 2022 adalah perlu untuk memastikan defisit fiskal tahun ini menghampiri enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang disasarkan, kata seorang ahli ekonomi.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata langkah tersebut untuk mengalihkan sebahagian daripada belanjawan operasinya bagi menampung kenaikan mendadak dalam subsidi akan membantu Malaysia mengelak membuat pinjaman, sekiranya pinjaman dibuat ia boleh meningkatkan tahap hutang jauh melebihi sasaran itu.

Daripada RM332.1 bilion yang diperuntukkan di bawah Bajet 2022, sebanyak RM233.5 bilion atau 70.3 peratus adalah untuk perbelanjaan mengurus.

Perbelanjaan untuk subsidi dan bantuan diunjurkan mencecah RM77.7 bilion, peningkatan yang ketara berbanding peruntukan RM31 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2022.

"Memandangkan peningkatan besar dalam perbelanjaan subsidi, defisit bajet Malaysia mungkin akan melebihi sasaran enam peratus daripada KDNK.

"Bagaimanapun, sasaran itu mungkin boleh dicapai sekiranya tiada peningkatan jumlah perbelanjaan kerajaan dengan penyusunan semula bajet dan hasil yang lebih tinggi daripada sektor komoditi terutamanya dengan harga minyak dan gas global yang tinggi," katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa kerajaan menyasarkan untuk mencapai sasaran penjimatan sekurang-kurangnya lima peratus daripada baki perbelanjaan operasi untuk tahun ini melalui penstrukturan semula.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa hutang kerajaan Persekutuan adalah terkawal manakala kedudukan fiskal negara kekal utuh.

Beliau berkata hutang berkanun kerajaan berjumlah 60.4 peratus pada akhir Jun 2022, jauh di bawah had hutang berkanun sebanyak 65 peratus daripada KDNK.

Dalam Pekeliling Perbendaharaan Malaysia yang dikeluarkan Kementerian Kewangan baru-baru ini kerajaan berkata penstrukturan semula peruntukan itu adalah untuk membantu membiayai sebahagian daripada perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi untuk manfaat rakyat.

"Memandangkan ia melibatkan perubahan dalam peruntukan, impak kepada ekonomi adalah rendah berbanding pengurangan perbelanjaan kerajaan.

"Semua kementerian perlu lebih berjimat cermat dan berhemat terutamanya berkaitan barangan tidak penting dan bekalan yang tidak kritikal,'' kata Yeah.

Beliau berkata buat masa ini subsidi adalah penting untuk mengelakkan tenaga global dan kejutan inflasi makanan daripada memberi kesan kepada kehidupan isi rumah berpendapatan rendah

Bagaimanapun, beliau sistem subsidi yang diguna pakai adalah tidak cekap kerana ia memberi manfaat kepada semua orang tanpa mengira tahap pendapatan mereka, ia menggalakkan amalan perniagaan yang tidak bertanggungjawab, ketirisan dan penyeludupan rentas sempadan.

"Sistem subsidi bersasar akan mengurangkan kos kerajaan dan penjimatan itu boleh disalurkan kepada penggunaan yang lebih produktif. Walaupun akan berlaku sedikit perubahan dengan inflasi yang lebih tinggi, ia masih akan membolehkan golongan miskin menghadapi kenaikan harga makanan dan tenaga," katanya.

Pada Selasa, Tengku Zafrul berkata subsidi yang disasarkan akan dilaksanakan berperingkat untuk mencegah kenaikan inflasi yang mendadak atau kesan buruk ke atas momentum pertumbuhan ekonomi.

Menteri Kewangan berkata kerajaan masih dalam peringkat awal menguji mekanisme subsidi petrol yang disasarkan yang dijangka mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk disiapkan sebelum ia boleh dilaksanakan di seluruh negara.

Ia akan diikuti dengan fasa ujian yang lebih meluas, menggunakan beberapa kaedah dan penilaian kebolehlaksanaan mekanisme untuk bandar dan luar bandar.

Bagi membendung gangguan pasaran dan inflasi, kerajaan telah menaikkan harga siling ayam kepada 50 sen sekilogram dan menyediakan bantuan tunai tambahan kepada isi rumah golongan B40.

"Seiring dengan pendekatan ini, kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol serta-merta ke paras harga pasaran memandangkan ia berpotensi memberi kesan terhadap inflasi walaupun harga RON95 pada RM2.05 seliter, ia adalah kira-kira 50 peratus lebih rendah daripada harga sebenar tanpa subsidi," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA