Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Malaysia bakal memperoleh manfaat daripada peperangan perdagangan di antara China dan Amerika Syarikat (AS) dari segi menarik pelaburan asing.

Jelas Perdana Menteri, dasar yang dilaksanakan dalam peperangan perdagangan ini akan menyebabkan pelabur tidak dapat melabur di negara-negara tertentu, sekaligus menguntungkan negara-negara yang tidak terlibat.

"Kita tidak terlibat… jadi ada kemungkinan kerana mereka (pelabur) tidak dapat pergi ke negara tertentu, mereka akan datang ke sini. Jadi kita akan dapat sedikit sebanyak keuntungan nikmat daripada trade war ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian pusat tarikan berkonsepkan geo pelancongan baharu, Langkawi Nature Park di Langkawi, Kedah hari ini.

Perang perdagangan di antara dua negara besar ini memuncak pada Rabu lepas apabila pentadbiran AS meningkatkan tekanan ke atas China untuk konsesi perdagangan dengan mencadangkan tarif 25 peratus lebih tinggi terhadap import China bernilai AS$200 bilion.

Ditanya sama ada Malaysia sudah bersedia untuk menghadapi limpahan kemasukan pelaburan asing susulan peperangan perdagangan ini, Dr Mahathir berkata, "Kita bersedia sepanjang masa."