SHAH ALAM: Polis sedang menunggu arahan pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung 15 lagi kes penipuan membabitkan individu yang menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit (ADC) Raja Muda Selangor dalam urusan jual beli kenderaan dan hartanah.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata sebanyak 17 kertas siasatan dibuka dan kesemuanya dirujuk kepada pejabat TPR Selangor selepas dilengkapkan.
“Semalam dan hari ini, TPR bersetuju supaya seorang lelaki dan seorang wanita dituduh mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala 15 kes lagi masih menunggu arahan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Terdahulu, Al Zulfadly Alias, 40, mengaku bersalah, manakala Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan menipu dalam penjualan kenderaan lelong bernilai RM40,000 pada April lepas.
Semalam, kedua-dua individu itu turut membuat pengakuan sama di Mahkamah Majistret Shah Alam bagi pertuduhan penipuan penjualan kenderaan lelong bernilai RM30,000 pada Mei lepas.
Polis sebelum ini mengesahkan penahanan seorang lelaki yang dipercayai menjadi suspek utama penipuan penjualan kenderaan dan hartanah menggunakan gambar Raja Muda Selangor di Johor Bahru pada 27 Okt lepas.
Shazeli berkata sebanyak 27 kes dilaporkan di seluruh negara, termasuk 17 di Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM1.4 juta.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras kegiatan penipuan.
Dalam perkembangan lain, Shazeli berkata polis menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi sebagai pusat panggilan dengan menahan 11 individu menerusi operasi di Sungai Long, Kajang serta Taman Aman Perdana pada 3 dan 10 Nov lepas.
Shazeli berkata sindiket yang beroperasi sejak September lepas itu menyasarkan warga asing di luar negara menerusi tawaran skim pelaburan dan penipuan percintaan atau “love scam”.
“Kesemua suspek termasuk 10 warga asing berusia 22 hingga 45 tahun itu berperanan sebagai operator khidmat pelanggan. Polis turut merampas pelbagai peralatan bernilai RM20,000,” katanya.
-- BERNAMA