Skip to main content

Malaysia

Belum ada bukti cip AI NVIDIA dieksport semula - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto) berkata perkembangan awal siasatan belum menunjukkan bukti yang mengesahkan dakwaan berkenaan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim (foto) berkata perkembangan awal siasatan belum menunjukkan bukti yang mengesahkan dakwaan berkenaan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan setakat ini belum menemukan sebarang petunjuk yang menunjukkan cip kecerdasan buatan (AI) keluaran Nvidia dikaitkan dengan Megaspeed telah dieksport semula dari Malaysia ke negara lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan awal siasatan belum menunjukkan bukti yang mengesahkan dakwaan berkenaan.

“Tiada sebarang petunjuk tentang perkara itu (setakat ini),” katanya ketika ditanya sama ada terdapat bukti cip berkenaan dibawa keluar dari Malaysia ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah, Surau Brickfields, di sini, hari ini.

Advertisement

Anwar turut memaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sudah mengemukakan laporan awal berhubung isu berkenaan pada pagi ini.

Menurut beliau, kerajaan akan menyelaraskan tindakan dengan agensi berkaitan bagi memastikan perkara itu disiasat secara menyeluruh.

Advertisement

“Kami akan bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat,” katanya.

Mengulas kemungkinan penglibatan pihak luar, Anwar berkata Malaysia belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Singapura mahupun Amerika Syarikat (AS) untuk membantu siasatan berkenaan.

“Buat masa ini, kita belum menerima sebarang permintaan sedemikian. Namun, sudah tentu kita akan bekerjasama,” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia sentiasa terbuka kepada perdagangan dan pelaburan antarabangsa, namun setiap aktiviti perniagaan perlu dilaksanakan mengikut peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

“Kita ialah negara perdagangan. Kita mengalu-alukan pelaburan. Kita mahu memastikan peraturan dipatuhi,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan menjelaskan pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang permohonan daripada Megaspeed International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura atau syarikat sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.

MITI turut menjelaskan Speedmatrix merupakan penyewa sebuah pusat data di Malaysia yang mengimport pelayan serta cip AI miliknya sendiri untuk kegunaan operasi syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, kementerian itu kini bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menyiasat kemungkinan cip berkenaan dieksport semula ke negara lain serta memastikan semua urusan mematuhi peruntukan undang-undang.

MITI menjelaskan bahawa kemasukan cip AI ke Malaysia ketika ini tidak memerlukan permit atau lesen khusus daripada kementerian berkenaan.

Namun, bermula Julai 2025, sebarang aktiviti eksport, eksport semula atau pemindahan cip AI berprestasi tinggi buatan AS dari atau melalui Malaysia memerlukan permit MITI mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010.

Kementerian itu turut mengingatkan bahawa pemberian maklumat palsu kepada pihak Kastam berkaitan barangan berkenaan merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kastam 1967.

MITI menegaskan siasatan akan dijalankan secara bebas berdasarkan undang-undang negara serta bukti yang diperoleh sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Must Watch Video

Advertisement