KUALA LUMPUR: Permintaan bagi kargo udara di peringkat global, yang diukur dalam tan kargo bagi setiap kilometer (CTK) meningkat 3.9 peratus pada Julai berbanding tahun sebelumnya, manakala permintaan antarabangsa meningkat 4.7 peratus, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Sementara kapasiti yang diukur dalam tan kargo bagi setiap kilometer tersedia, meningkat 1.7 peratus daripada Julai 2025 atau 1.8 peratus bagi operasi antarabangsa.
Naib Presiden Kanan bagi Kemampanan dan Ketua Ahli Ekonomi IATA Marie Owens Thomsen berkata syarikat penerbangan di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara menyumbang lebih 90 peratus daripada peningkatan keseluruhan, walaupun pertumbuhan direkodkan di semua rantau.
“Kapal pengangkut kargo khas memperoleh bahagian pasaran apabila pergerakan kargo dalam ruang simpanan penumpang merosot, yang mungkin mencerminkan permintaan untuk penghantaran yang lebih besar atau khusus dan fleksibiliti operasi yang boleh disediakan oleh kapal pengangkut kargo," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Oleh itu, Thomsen berkata prospek secara keseluruhannya kekal positif, disokong oleh aktiviti pembuatan, pesanan eksport dan perdagangan global.
Bagaimanapun, tambahnya, harga minyak yang lebih tinggi, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan tarif kekal menjadi risiko kepada prospek.
-- BERNAMA