MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menggunakan logo rasmi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 Nov ini, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mohamed Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersatu berkata beliau telah menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada minggu lepas berkaitan pengesahan penggunaan logo parti berkenaan pada PRN Melaka ke-16.
"Kita akan gunakan logo Bersatu. Saya telah menghantar surat kepada SPR dan penggunaan logo Bersatu telah dibenarkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pengumuman Calon Bersatu bagi PRN Melaka di bilik gerakan utama PRN Melaka parti itu di Baitul Tariq, Klebang di sini malam ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Melaka Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Mengulas mengenai lapan kerusi yang ditandingi Bersatu pada PRN Melaka, Mohamed Azmin berkata kesemua kerusi berkenaan dilihat berpotensi dimenangi oleh parti itu.
Beliau berkata walaupun Bersatu dijangka bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH) di empat kerusi yang ditandingi, iaitu di Kelebang (PKR) serta Gadek, Ayer Keroh dan Pangkalan Batu (DAP), namun pihaknya menyerahkan kepada kebijaksaan rakyat Melaka untuk membuat pemilihan.
"Dalam konteks pilihan raya, pertindihan atau pertembungan bermakna parti terlibat akan bersaing, tetapi kita mengambil pendirian persaingan itu adalah persaingan yang sihat dalam sebuah sistem demokrasi.
"Kita tidak akan mengamalkan gutter politic ataupun fitnah, kita akan menawarkan dasar-dasar parti..kita parti yang prihatin rakyat, kita bawa isu ekonomi, isu pertumbuhan dan penjanaan pekerjaan," katanya.
Terdahulu, pada majlis berkenaan Mohd Radzi mengumumkan Bersatu akan bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lendu, Gadek, Sungai Udang, Pantai Kundor, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh dan Bemban.
-- BERNAMA