Skip to main content

Malaysia

Beza pandangan antara kementerian bukan tanda perpecahan kerajaan - Anwar

Anwar berkata prestasi ekonomi negara terus dipantau secara berterusan, berdasarkan data dan indikator ekonomi semasa bagi menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan. - Gambar fail/Bernama
Anwar berkata prestasi ekonomi negara terus dipantau secara berterusan, berdasarkan data dan indikator ekonomi semasa bagi menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian, tidak semestinya mencerminkan perpecahan dalam kerajaan.

Sebaliknya, Anwar  berkata keadaan itu, merupakan sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar yang mengambil kira tanggungjawab, bidang kuasa serta keutamaan masing-masing, demi memastikan agenda Kerajaan MADANI dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata kerajaan sentiasa memastikan penyelarasan antara kementerian, dilaksanakan secara teratur bagi menjamin keselarasan dasar, mengelakkan pertindihan fungsi dan memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat, keutamaan pembangunan negara serta kemampuan kewangan kerajaan.

“Bagi memastikan tadbir urus yang berkesan, setiap dasar dan keputusan kerajaan hendaklah melalui proses pertimbangan serta penyelarasan yang sewajarnya.

“Perkara yang memerlukan keputusan kolektif akan dibawa untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, selaras dengan prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Anwar berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen hari ini, bagi menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai tindakan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang mengeluarkan pendirian bercanggah secara terbuka berhubung beberapa isu baru-baru ini.

Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar, serta memantau pencapaian setiap inisiatif bagi memastikan keputusan yang dibuat diterjemahkan kepada hasil yang nyata, mampan dan memberikan manfaat kepada rakyat.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata prestasi ekonomi negara terus dipantau secara berterusan, berdasarkan data dan indikator ekonomi semasa bagi menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan, di samping memastikan daya tahan ekonomi negara terus diperkukuh dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement