Skip to main content

Malaysia

Cadangan kekalkan Petronas dalam MotoGP akan dibincang - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tengah) ketika menghadiri program Sembang Santai MotoGP di Fifty Seven Coffee, Semenyih hari ini.  Turut kelihatan, bekas pelumba Wazi Abdul Hamid, Zulfahmi Khairuddin dan Azlan Shah Kamaruzaman. - Gambar Bernama
Ahmad Zahid (tengah) ketika menghadiri program Sembang Santai MotoGP di Fifty Seven Coffee, Semenyih hari ini. Turut kelihatan, bekas pelumba Wazi Abdul Hamid, Zulfahmi Khairuddin dan Azlan Shah Kamaruzaman. - Gambar Bernama

Advertisement

BANGI: Cadangan untuk memastikan Petronas terus menjadi penaja utama MotoGP bagi tahun-tahun akan datang, akan dibincangkan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu, susulan pertemuannya dengan Pengarah Eksekutif MotoGP Carmelo Ezpeleta, yang berharap Petronas akan meneruskan penglibatan dalam kejohanan perlumbaan motosikal berprestij dunia itu.

“Saya telah berjumpa dengan Carmelo dan beliau telah menawarkan kepada Petronas untuk terus menjadi penganjur kepada MotoGP. Beliau memberitahu saya bahawa tahun ini merupakan tahun terakhir untuk Petronas menjadi penganjur, tetapi di negara lain, syarikat minyak nasional mereka atau syarikat tempatan menjadi penaja. 

“Beliau mahu nama Malaysia itu sinonim dengan Petronas (dan MotoGP) dan saya akan bertemu dengan Tan Sri Taufik, untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Sembang Santai MotoGP anjuran AZH Club di sini malam ini, yang menghimpunkan lebih 3,000 peminat sukan permotoran.

Ahmad Zahid berkata walaupun kos penajaan berkenaan mungkin tinggi, beberapa pendekatan alternatif boleh dipertimbangkan, bagi memastikan Petronas terus menjadi penganjur utama dan penaja MotoGP pada tahun-tahun akan datang.

“Walaupun mungkin dari segi kosnya agak berat, tapi saya fikir ada beberapa kaedah lain untuk menentukan bahawa Petronas  tetap menjadi penganjur utama dan penaja dalam MotoGP,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement