KUALA LUMPUR: Permintaan penumpang global bagi Ogos 2026, yang diukur berdasarkan hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), menyusut sebanyak 0.8 peratus berbanding Ogos 2025.
Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), ini disebabkan oleh gangguan terhadap trajektori pemulihan bagi syarikat penerbangan di Asia Barat,
Naib Presiden Kanan bagi Kemampanan dan Ketua Ahli Ekonomi IATA Marie Owens Thomsen berkata syarikat penerbangan di rantau itu melaporkan permintaan susut sebanyak 14.6 peratus tahun ke tahun, sekali gus mengubah trend peningkatan yang dicatatkan sebelum ini.
“Jika tidak termasuk syarikat penerbangan Asia Barat, permintaan bagi perjalanan udara meningkat sebanyak 0.6 peratus tahun ke tahun pada Ogos, iaitu separuh daripada kadar pertumbuhan yang dicatatkan pada Julai.
“Dengan beberapa pengecualian penting seperti pasaran domestik China, kesalinghubungan global yang secara amnya lebih lemah pada Ogos,” kata Thomsen.
Beliau berkata, dalam beberapa bulan akan datang bakal menyaksikan sama ada pelancong, yang kuasa belinya telah terjejas akibat harga bahan api yang lebih tinggi, sedang menyesuaikan belanjawan perjalanan mereka.
Katanya, mereka juga mungkin kurang berminat untuk melancong disebabkan ketidakstabilan geopolitik semasa.
“Sementara itu, jadual perjalanan bagi Oktober menunjukkan keyakinan tetapi berhati-hati dengan pertumbuhan sebanyak 2.0 peratus dalam jumlah tempat duduk yang tersedia,” katanya.
Menurut IATA, kapasiti tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) meningkat sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun, manakala faktor muatan sebanyak 85.1 peratus, iaitu susut 0.9 mata peratusan (ppt) berbanding Ogos 2025.
Mengenai perincian mengikut wilayah bagi pasaran penumpang antarabangsa, IATA menjelaskan bahawa hasil penumpang bagi setiap kilometer antarabangsa merosot 0.9 peratus berbanding Ogos 2025.
Tambah IATA, sekiranya tidak mengambil kira Asia Barat, permintaan meningkat sebanyak 1.3 peratus tahun ke tahun.
Kapasiti pula kekal mendatar tahun ke tahun, dan faktor muatan ialah 85.0 peratus (-0.8 mata peratusan berbanding Ogos 2025).
Dalam pada itu, permintaan domestik menyusut 0.5 peratus tahun ke tahun, manakala kapasiti meningkat sebanyak 0.7 peratus tahun ke tahun.
Faktor muatan ialah 85.3 peratus, iaitu penurunan -1.1 mata peratusan berbanding Ogos 2025.
Menurut IATA, syarikat penerbangan Asia Pasifik menyaksikan kenaikan 0.1 peratus tahun ke tahun dalam permintaan penumpang, namum kapasiti berkurangan sebanyak 0.9 peratus tahun ke tahun.
Faktor muatan ialah 85.6 peratus, iaitu naik 0.7 mata peratusan berbanding Ogos 2025.
“Aliran trafik di laluan dalam Asia merosot 2.0 peratus, dan kapasiti mencatatkan penurunan bagi bulan keempat berturut-turut.
“Sebaliknya, trafik di koridor Asia-Amerika Utara meningkat sebanyak 2.5 peratus,” tambahnya.
Sementara itu, IATA mewakili lebih 370 syarikat penerbangan, iaitu merangkumi kira-kira 85 peratus trafik udara global.
-- BERNAMA