Ringkasan AI
- Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun mara ke final Terbuka Hong Kong selepas menewaskan pasangan India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
- Mereka menang 21-18, 21-19 dalam perlawanan separuh akhir selama 44 minit di Kai Tak Arena, Hong Kong.
- Wei Chong-Kai Wun akan bertemu pemenang antara pasangan Indonesia dan Korea Selatan pada perlawanan akhir esok.
HONG KONG: Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Hong Kong selepas menewaskan pasangan India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada aksi separuh akhir hari ini.
Pasangan nombor sembilan dunia itu menampilkan aksi tenang untuk menundukkan lawan ranking keempat dunia 21-18, 21-19 dalam perlawanan selama 44 minit pada kejohanan di Kai Tak Arena, Hong Kong.
Wei Chong-Kai Wun akan menentang pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dan wakil Korea Selatan Kang Min Hyuk-Lee Jong Min pada perlawanan akhir esok.
Kai Wun berkata keupayaan mengawal tiga pukulan pertama amat penting ketika berhadapan pasangan India itu yang terkenal dengan kepantasan, kekuatan dan tenaga mereka.
“Kami sedar kepantasan dan kekuatan mereka sangat baik, begitu juga tenaga mereka. Jadi, kami perlu mengawal tiga pukulan pertama sebelum dapat bermain mengikut corak permainan sendiri.
“Sebaik sahaja kami berjaya mengejar mata, keyakinan kami semakin meningkat,” katanya dalam rakaman audio yang dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.
Sementara itu, Wei Chong berpendapat keadaan gelanggang adalah lebih baik berbanding stadium sebelum ini, membolehkan mereka mengawal pukulan dengan lebih berkesan.
“Keadaan tidak terlalu berangin dan lebih mudah untuk mengawal pukulan,” katanya.
-- BERNAMA