Skip to main content

Bisnes

Permintaan tenaga mahir EV meningkat, PROTON Institute perkukuh latihan TVET

Pensyarah PROTON Institute, Amirul Mat Isa, mengendalikan sesi pembelajaran sempena lawatan Bernama baru-baru ini ke institut berkenaan yang bakal memperkenalkan program diploma khusus EV mulai Januari 2027. --fotoBERNAMA
Pensyarah PROTON Institute, Amirul Mat Isa, mengendalikan sesi pembelajaran sempena lawatan Bernama baru-baru ini ke institut berkenaan yang bakal memperkenalkan program diploma khusus EV mulai Januari 2027. --fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Institut Teknologi Automotif Termaju PROTON akan memperkenalkan program diploma khusus kenderaan elektrik bermula Januari 2027 untuk memenuhi permintaan industri automotif.
  • Program ini menekankan latihan berasaskan kerja, kerjasama industri dan peluang pekerjaan, selaras keperluan tenaga mahir dalam penyelenggaraan serta perkhidmatan selepas jualan EV.
  • Kadar kebolehpasaran lulusan institusi di bawah JTM meningkat kepada 98 peratus tahun ini, mencerminkan potensi pendidikan kemahiran sebagai laluan kerjaya belia.
Advertisement

ALOR GAJAH: Institut Teknologi Automotif Termaju PROTON (PROTON Institute), iaitu antara ADTEC Jabatan Tenaga Manusia (JTM) akan memperkenalkan program diploma khusus kenderaan elektrik (EV) bermula Januari 2027 bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan untuk memenuhi permintaan industri automotif yang semakin berkembang.

Pengarahnya Dr Norhuda Salim berkata ia antara usaha proaktif institusi itu untuk memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memiliki kemahiran yang relevan dengan kehendak industri, khususnya dalam bidang penyelenggaraan dan perkhidmatan selepas jualan EV.

Beliau berkata keperluan tenaga mahir dalam bidang itu dijangka terus meningkat seiring dengan perkembangan teknologi EV serta permintaan tinggi terhadap juruteknik dan penasihat servis automotif.

Advertisement

“Melalui perbincangan dengan pihak PROTON, kita mendapat maklum balas bahawa permintaan terhadap juruteknik dan penasihat servis dalam industri automotif sememangnya tinggi.

“Dengan perkembangan teknologi EV, keperluan terhadap tenaga kerja yang memiliki kemahiran khusus dalam bidang ini dijangka terus meningkat. Justeru kita perlu menyediakan latihan yang benar-benar memenuhi kehendak industri,” katanya kepada Bernama.

Advertisement

Norhuda berkata PROTON Institute kini dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan latihan EV termasuk pusat servis serta pameran kenderaan yang akan terus dipertingkatkan menerusi kerjasama strategik dengan PROTON serta sokongan inisiatif kerajaan.

Beliau berkata kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara JTM, PROTON Holdings, PROTON Edar dan vendor PROTON itu merangkumi perkongsian kepakaran, khidmat nasihat, penyediaan peralatan latihan serta peluang pekerjaan kepada penuntut.

Selain itu, institusi tersebut melaksanakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) yang menggabungkan pembelajaran teori, latihan amali dan pengalaman bekerja secara langsung dalam industri.

Menerusi pendekatan itu, penuntut mengikuti pengajian selama tiga semester di institusi sebelum menjalani latihan di industri untuk tempoh setahun bagi melengkapkan pensijilan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) sambil terus bekerja di syarikat berkenaan.

“Majikan akan membuat penilaian dan temu duga sebelum memilih penuntut yang sesuai untuk ditawarkan pekerjaan. Ini membolehkan mereka bekerja lebih awal sambil meneruskan pengajian secara hibrid,” katanya.

Berhubung pencapaian TVET, Norhuda berkata kadar kebolehpasaran lulusan institusi di bawah JTM meningkat kepada 98 peratus tahun ini berbanding 95.5 peratus pada tahun lepas yang mencerminkan potensi pendidikan kemahiran sebagai laluan kerjaya golongan belia.

Beliau berkata daripada 33 kampus ADTEC JTM di seluruh negara, sebanyak 17 kampus termasuk PROTON Institute menawarkan latihan automotif, dengan institusi itu menyediakan program DKM dalam bidang pembuatan komponen, automasi industri dan servis kenderaan termasuk teknologi EV.

Norhuda berkata PROTON Institute melaksanakan pengambilan pada Januari dan Julai setiap tahun dengan kapasiti kira-kira 500 penuntut termasuk 150 dalam bidang automotif.

Beliau berkata warganegara Malaysia yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berusia tidak melebihi 35 tahun boleh memohon melalui portal UP_TVET dengan memilih PROTON Institute sebagai institusi pilihan.

Sementara itu, tenaga pengajar automotif PROTON Institute Khairul Anwar Salleh berkata peningkatan penggunaan EV di negara ini membuka peluang pekerjaan lebih luas, khususnya dalam sektor penyelenggaraan dan perkhidmatan selepas jualan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pendaftaran EV di Malaysia setakat Oktober 2026 menghampiri 53,000 unit, menunjukkan kepentingan menyediakan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dalam mengendalikan teknologi berkenaan.

“Apabila semakin banyak EV digunakan, sudah tentu kita memerlukan lebih ramai juruteknik yang mempunyai kepakaran untuk mengendalikan sistem dan komponen kenderaan tersebut,” katanya.

Khairul Anwar berkata lepasan automotif berpotensi memperoleh gaji permulaan asas sekurang-kurangnya RM2,500 hingga RM3,000 dengan peluang meningkatkan kerjaya sebagai penasihat servis, penyelia dan pengurus servis.

Malah, terdapat tenaga mahir yang memiliki pensijilan kepakaran tertentu dari luar negara seperti Amerika Syarikat dan China berpotensi meraih pendapatan antara RM7,000 hingga RM10,000 bergantung kepada kelayakan serta kepakaran mereka.

Bagi memastikan tenaga pengajar turut menguasai teknologi terkini, beliau berkata dua tenaga pengajar PROTON Institute menyertai latihan khusus EV di China pada 2025 manakala empat lagi dijadualkan mengikuti latihan pada 2027.

“Matlamat kita adalah untuk melahirkan lebih ramai teknokrat tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing secara berperingkat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement