Skip to main content

Malaysia

Kabinet lulus penubuhan Suruhanjaya Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-China - Zambry

Zambry berucap pada Majlis Festival Idea Putrajaya (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. --fotoBERNAMA
Zambry berucap pada Majlis Festival Idea Putrajaya (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. --fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Kabinet meluluskan penubuhan Suruhanjaya Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-China sebagai platform kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan tinggi secara tahunan.
  • Mesyuarat pertama suruhanjaya itu dijadualkan berlangsung di China tahun hadapan selepas penangguhan tahun ini atas sebab dalaman Malaysia.
  • Festival Idea Putrajaya 2026 menampilkan penyertaan antarabangsa dan mempromosi Malaysia sebagai pusat rujukan utama dalam bidang pendidikan tinggi serantau dan global.
Advertisement

PUTRAJAYA: Kabinet telah meluluskan penubuhan Suruhanjaya Bersama Pendidikan Tinggi antara Malaysia dan China sebagai platform kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan tinggi yang akan diadakan secara tahunan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata inisiatif itu merupakan antara langkah penting dalam memperkukuh hubungan pendidikan tinggi antara kedua-dua negara, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam sektor berkenaan.

“Terbaharu, Kabinet telah meluluskan Suruhanjaya Bersama Pendidikan Tinggi, maksudnya pertemuan akan diadakan setiap tahun di kedua-dua negara tentang pendidikan tinggi. Ia telah pun ditandatangani dan Insya-Allah mesyuarat pertama akan diadakan di China tahun hadapan.

Advertisement

“Ia sepatutnya diadakan tahun ini tapi kita tunda kerana kita ada hal yang perlu kita selesaikan di Malaysia, jadi kita ubah ke tahun hadapan. Ini merupakan langkah ke hadapan dalam pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Festival Idea Putrajaya (FOI Putrajaya) 2026 di sini hari ini.

Advertisement

Mengulas mengenai penganjuran FOI Putrajaya, Zambry menyifatkan acara bertaraf antarabangsa yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu berjaya meletakkan Malaysia sebagai pusat rujukan utama dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata festival tersebut turut dihadiri menteri-menteri dari luar negara termasuk Uzbekistan, Filipina, Indonesia dan Kazakhstan, selain melibatkan perbincangan penyelidikan oleh lapan negara menerusi The University Network for Research Cooperation (iUNRC).

“Di sinilah kita hendak wujudkan satu budaya baharu dalam masyarakat supaya generasi kita dapat berfikir dan menghasilkan idea yang baik untuk pembangunan negara pada masa kini dan akan datang,” katanya.

FOI 2026 merupakan kesinambungan festival dilaksanakan pada 2024 dan 2025 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), iaitu  satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi serta mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global.

Festival itu bertujuan untuk menghimpunkan pemimpin pemikir, pakar, pembuat dasar, ahli akademik, industri dan masyarakat umum dalam satu platform berprestij bagi membincangkan dan berkongsi idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran semasa yang dihadapi oleh Malaysia dan dunia.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement