Perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 31.5 peratus kepada RM153.3 bilion pada Mei 2017 berbanding RM116.6 bilion yang dicatatkan dalam bulan yang sama tahun lepas, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Eksport meningkat 32.5 peratus kepada RM79.4 bilion dan import sebanyak 30.4 peratus kepada RM73.91 bilion, membawa kepada lebihan perdagangan RM5.49 bilion, lebihan perdagangan bulan ke- 235 berturut-turut, yang direkodkan sejak November 1997, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Bagi asas bulan-ke-bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import berkembang masing-masing sebanyak 10.2 peratus, 7.5 peratus dan 13.3 peratus.

"Dari Januari-Mei 2017, jumlah perdagangan berkembang sebanyak 25.4 peratus kepada RM722.89 bilion, eksport naik sebanyak 23.3 peratus kepada RM377.96 bilion, manakala import menokok sebanyak 27.7 peratus kepada RM344.93 bilion dan lebihan perdagangan berjumlah RM33.03 bilion," kata MITI.

Keseluruhannya, prestasi eksport yang bertambah baik pada Mei 2017 dicerminkan menerusi pertumbuhan positif eksport barangan pembuatan yang meningkat sebanyak RM16.43 bilion (32.7 peratus) kepada RM66.61 bilion berbanding RM50.18 bilion dalam bulan yang sama tahun lepas.

Eksport tinggi itu adalah hasil daripada peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum, kimia dan produk kimia, getah, produk besi dan keluli, mesin, peralatan dan bahagian-bahagian, serta pembuatan logam.

Sebagai contoh, produk E&E, bernilai RM28.55 bilion, membentuk 36 peratus daripada jumlah eksport, peningkatan 31.3 peratus dari Mei 2016. Eksport produk petroleum melonjak 88.2 peratus dan bernilai RM7.94 bilion, menyumbang 10 peratus daripada jumlah eksport.

Eksport barangan pertanian meningkat sebanyak 25.4 peratus kepada RM6.95 bilion, disokong oleh eksport tinggi minyak sawit yang mencatatkan kenaikan 25 peratus kepada RM4.2 bilion, disebabkan oleh Nilai Unit Purata (AUV) dan juga kuantiti yang tinggi.

Eksport barangan perlombongan meningkat 32 peratus kepada RM5.07 bilion, mendapat rangsangan daripada eksport tinggi petroleum mentah dan juga sumbangan tinggi daripada Nilai Unit Purata dan kuantiti.

Eksport ke ASEAN kekal kukuh dan meningkat 34.1 peratus kepada RM42.2 bilion dan menyumbang 27.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, disokong oleh peningkatan eksport produk E&E, produk petroleum, kimia dan produk kimia, mesin, peralatan dan bahagian-bahagian serta makanan diproses.

Bagi asas bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import meningkat masing-masing sebanyak 13.2 peratus,14.6 peratus dan 11.4 peratus.

Pada Mei 2017, perdagangan dengan China meningkat sebanyak 32.3 peratus kepada RM25.21 bilion dan menyumbang 16.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, apabila eksport mencatatkan pertumbuhan tertinggi tahun-ke-tahun sejak Februari 2010, melonjak sebanyak 51.5 peratus kepada RM10.73 bilion.

-- BERNAMA