KUALA LUMPUR: Sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia di antara 4.0 dengan 5.0 peratus bagi tahun ini kekal tidak terjejas, disokong oleh kemajuan yang lebih baik dari peringkat global terutama di China, menurut pandangan Interpacific Asset Management.

Ketua Ahli Ekonomi dan Pengurus Dana, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata kemajuan dari peringkat global itu boleh menimbulkan kesan domino terhadap Malaysia walaupun unjuran pertumbuhan ekonomi suku ketiga 2023 adalah rendah.

Beliau berkata sasaran yang ditetapkan pihaknya itu berada dalam lingkungan julat sasaran Bank Negara Malaysia dan masih boleh dicapai walaupun unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2.9 peratus bagi suku ketiga 2023.

"Sudah pasti, pada masa sama, Malaysia perlu menambah baik kutipan cukai, mengurangkan subsidi menyeluruh dan menyediakan subsidi bersasar yang mencukupi seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

"Apabila semua ini dilaksanakan, kita boleh menyaksikan Malaysia boleh mencatatkan julat lebih tinggi atau mencapai sasaran lima peratus," katanya kepada Bernama.

Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan KDNK Malaysia bagi suku ketiga 2023 berkembang sebanyak 3.3 peratus.

Bank pusat itu dijadual mengumumkan pertumbuhan KDNK suku ketiga 2023 secara rasmi pada 10 Nov, 2023.

Nazri Khan yang menjenamakan semula dirinya sebagai DDNK berkata Belanjawan Kerajaan MADANI 2024 yang dibentangkan bulan lepas, menjadi belanjawan terbesar dalam sejarah Malaysia dengan RM393.8 bilion.

Menerusi belanjawan itu, kerajaan akan membantu negara pulih daripada kesusahan ekonomi semasa dan, pada masa yang sama, terus menjaga kesejahteraan rakyat, katanya.

Beliau berkata pengenalan subsidi bersasar turut akan membantu rakyat yang paling memerlukan di samping membantu kerajaan menguruskan defisit.

Ketika ditanya sama ada Malaysia berpotensi menjadi 'negara kebajikan' jika kerajaan terus memberikan bantuan kewangan kepada rakyat, beliau berkata "subsidi bersasar sewajarnya menjadi jawapan."

Malaysia tidak perlu menjadi negara kebajikan bagi masyarakat yang terlalu kaya namun perlu prihatin kepada golongan berpendapatan sederhana, terutama mereka yang tinggal di bandar besar.

"Bagaimanapun, pada masa ini, kita tidak pasti mengenai mekanisme itu tetapi mesti digerakkan dalam tempoh terdekat bukannya kemudian.

"Menerusi pengurangan beban subsidi juga, ini akan membantu kerajaan menggunakan belanjawan yang lebih tinggi untuk perkara lain contohnya hospital, sekolah dan sebagainya," katanya.

Sebagai perbandingan, bahan api RON95 Malaysia berharga RM2.05 seliter adalah antara yang paling murah di dunia, lebih murah daripada pengeluar minyak utama Arab Saudi RM2.94 seliter, Indonesia RM4.45 seliter dan Thailand RM5.99 seliter.

Nazri Khan berkata perlu ada kawalan dan penguatkuasaan ketat daripada agensi kerajaan terutama terhadap barangan terkawal contohnya minyak masak paket dan petrol RON95 kerana ia akan menghalang orang yang tidak layak mendapat subsidi daripada mendapatkannya dengan mudah.

Beliau berkata kerajaan harus melihat cara holistik untuk menentukan golongan sasaran dengan menggunakan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terhadap caruman pekerja dan kaedah lain supaya ia dapat disalurkan dengan betul.

Mengenai penamatan subsidi ayam dan kawalan harga berkuat kuasa 1 November, Nazri Khan berkata kerajaan harus menumpukan perhatian kepada cara untuk mengurangkan inflasi barangan import terutamanya segmen makanan seterusnya dapat membantu mengurangkan inflasi.

Bagaimanapun, beliau berkata inflasi semasa Malaysia masih dalam lingkungan unjuran, selain itu tiada lonjakan inflasi dijangka akan berlaku.

Pada Isnin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan bersetuju untuk menamatkan subsidi ayam dan kawalan harga berkuat kuasa Rabu (1 Nov) bagaimanapun subsidi telur ayam gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada akan diteruskan.

Mengenai ringgit dan pasaran ekuiti, Nazri Khan berkata beliau melihat prospek jangka sederhana bagi ekuiti Bursa Malaysia kekal stabil disokong oleh penilaian yang menarik, pendapatan korporat lebih kukuh dan keadaan ekonomi bertambah baik di peringkat global.

"Prestasi ringgit akan terus menghadapi cabaran pada 2024. Ringgit dijangka akan berada di bawah tekanan apabila bank pusat bertindak balas terhadap pasaran mata wang dan inflasi.

"Ketika ini, kami menjangkakan ringgit akan bergerak dalam julat 4.5-4.7 berbanding dolar US pada 2024 tetapi dengan lebih banyak pembaharuan fiskal oleh BNM, unit tempatan boleh bergerak ke arah 4.4-4.5 menjelang bahagian akhir 2024," katanya.

Beliau berharap Belanjawan 2024 memberikan dorongan yang amat diperlukan untuk negara pulih selepas pandemik.

"Dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah Malaysia, ia akan memberikan perspektif berpaksikan rakyat dalam Kerajaan MADANI dan pembaharuan fiskal akan membantu Malaysia mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ditetapkan," katanya.

Pada 13 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan MADANI kedua, menyediakan peruntukan sebanyak RM393.8 bilion dalam usaha memperkukuh ekonomi negara, membantu mempercepatkan sektor perniagaan dan pada masa yang sama mencapai keseimbangan sokongan fiskal dan perbelanjaan berhemat walaupun menghadapi cabaran global semasa.

-- BERNAMA