Skip to main content

Bisnes

Pertumbuhan KDNK enam peratus perlu diterjemah kepada peningkatan gaji, kesejahteraan rakyat

[TB]_Ekonomi, Belanjawan_ADOBE STOCK
Irwan Shah berkata struktur pertumbuhan ekonomi ketika ini turut menunjukkan wujudnya ekonomi dua kelajuan apabila pertumbuhan lebih tertumpu kepada sektor tertentu seperti teknologi maklumat, AI, pembinaan dan pusat data. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak enam peratus pada suku kedua 2026 perlu diterjemahkan kepada peningkatan gaji, peluang pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat.

Felo Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Irwan Shah Zainal Abidin berpandangan, walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu menunjukkan asas ekonomi negara kekal kukuh, terdapat jurang antara prestasi ekonomi secara agregat dengan manfaat yang diterima rakyat.

"Yang pertama, kalau kita lihat pada suku kedua, sudah wujud isu dari segi agihan. Walaupun pertumbuhan ekonomi pada suku kedua mencapai enam peratus, pertumbuhan gaji benar atau upah sektor swasta hanyalah 2.2 peratus. Jadi, terdapat jurang sebanyak 3.8 peratus, dan perkara ini penting untuk diberi perhatian.

"Satu lagi aspek ialah hubungan antara modal dengan upah. Sebab itu, dalam penanda aras Ekonomi MADANI, terdapat nisbah Pampasan Pekerja (Compensation of Employees - CE) yang menyasarkan kadar 45 peritus.

"Sekarang kalau kita tengok pertumbuhan ekonomi ini, nisbah CE hanya sekitar 35 peratus. Maksudnya, setiap RM1 peningkatan dalam nilai KDNK, hanya 35 sen sahaja masuk kepada upah dan gaji rakyat," katanya dalam program Agenda AWANI, yang disiarkan pada Selasa malam.

Irwan Shah menambah, KDNK pada asasnya mengukur prestasi ekonomi negara dan tidak secara langsung mengukur tahap kesejahteraan rakyat.

Justeru, ujarnya indikator lain perlu diberi perhatian bagi menilai kesan pertumbuhan terhadap kehidupan masyarakat.

Selain itu, beliau berkata pertumbuhan enam peratus pada suku kedua juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana ia masih lebih rendah berbanding pertumbuhan 6.2 peratus pada suku keempat 2025, manakala pertumbuhan separuh pertama 2026 pula berada pada 5.7 peratus.

“Dalam konteks jangka panjang, kita tengok dari sudut kerangka Ekonomi MADANI. Apabila kerangka itu diperkenalkan pada 27 Julai 2023, sasaran pertumbuhan ekonomi yang diletakkan adalah sekitar 5.5 hingga enam peratus sehingga 2030.

“Tetapi kalau kita lihat sepanjang tiga tahun daripada 2023 hingga 2025, pertumbuhan ekonomi sekarang adalah sekitar 4.6 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata pencapaian enam peratus itu menunjukkan keadaan ekonomi masih terkawal, namun kerajaan tidak seharusnya berpuas hati dan perlu terus meningkatkan 'siling' pertumbuhan ekonomi serta 'lantai' kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, Irwan Shah berkata struktur pertumbuhan ekonomi ketika ini turut menunjukkan wujudnya ekonomi dua kelajuan apabila pertumbuhan lebih tertumpu kepada sektor tertentu seperti teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), pembinaan dan pusat data.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai siapa yang menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi, jenis pekerjaan yang diwujudkan serta negeri yang menerima limpahan pelaburan.

Beliau turut memberi perhatian kepada peningkatan eksport bersih yang melonjak 168.5 peratus pada suku kedua, sambil menyifatkannya sebagai peningkatan yang ketara.

Menurutnya, walaupun pelaburan dan permintaan domestik menjadi antara pemacu utama pertumbuhan, kebergantungan kepada eksport perlu dilihat dari sudut manfaatnya kepada rakyat, terutama sekiranya ia didominasi syarikat asing.

“Kalau ia melibatkan syarikat-syarikat luar, sememangnya hasil enam peratus itu memang tidak terkesan kepada kita,” katanya.

Irwan Shah berkata penurunan pelaburan swasta serta penguncupan sektor pertanian turut menjadi perkara yang perlu diberi perhatian kerana kedua-duanya mempunyai kaitan langsung dengan peluang pekerjaan, pendapatan dan kos sara hidup rakyat.

Must Watch Video

Advertisement