Ringkasan AI
- Hujan sangat lebat antara 63.5mm hingga 114.5mm menyebabkan banjir di 23 kawasan di empat daerah Selangor semalam.
- JPS Selangor mengaktifkan 353 pintu air, 161 pam kekal, dan 141 pam bergerak untuk mengurus air banjir ke sungai.
- Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,373 orang daripada 363 keluarga, ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara.
SHAH ALAM: Hujan sangat lebat dengan rekod taburan antara 63.5 milimeter (mm) hingga 114.5mm menyebabkan banjir di 23 kawasan membabitkan empat daerah di Selangor, semalam.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dalam kenyataan memaklumkan daerah terbabit ialah Klang yang merekodkan lapan kawasan terjejas, Gombak (tujuh), Kuala Selangor (lima) dan Petaling (tiga).
Jabatan itu memaklumkan Kuala Selangor merekodkan taburan hujan tertinggi, iaitu 114.5mm di Kampung Merbau Indah Tambahan dan Perumahan Saujana Aman.
“Di daerah Klang, antara kawasan terjejas ialah Kampung Delek dan Kampung Rantau Panjang yang masing-masing merekodkan taburan hujan 95.5mm diikuti Kampung Jalan Kebun (94.5mm).
“Sementara itu, di Gombak, Pekan Batu Arang dan Jalan Tasik Puteri-Batu Arang (Jalan Lembah Hijau) masing-masing merekodkan taburan hujan 84.5mm,” menurut kenyataan itu.
Di Petaling, JPS Selangor memaklumkan Kampung Kubu Gajah mencatatkan bacaan 79mm, diikuti Kampung Budiman, Shah Alam (73.5mm) dan Lorong Keluli 1C, i-City (69mm).
Selain itu, JPS Selangor memaklumkan sebanyak 353 pintu air dan 161 pam kekal berada dalam mod operasi aktif bagi mengeluarkan air banjir ke sungai.
Sebanyak 141 pam kecemasan mudah alih atau pam bergerak telah dipasang dan beroperasi di sembilan daerah manakala sembilan unit berada dalam mod siap siaga untuk ditempatkan di lokasi kritikal jika diperlukan.
Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 1,373 orang daripada 363 keluarga pada pagi tadi berbanding 1,111 orang daripada 295 keluarga petang semalam yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).
-- BERNAMA