BATU PAHAT: Tidak terlintas dalam fikiran Kamal Syafiq Maskat bahawa sebuah kereta yang dilihatnya terbakar dalam kemalangan di Jalan Jaya Diri, Rengit malam tadi sebenarnya meragut nyawa adik kandungnya sendiri.
Lebih memilukan, lelaki berusia 35 tahun itu sempat menyaksikan anggota bomba memadamkan kebakaran ketika melalui lokasi kejadian, tanpa mengetahui adiknya, Kamal Nur Hafizi Maskat, 22, berada dalam kenderaan terbabit.
Kamal Syafiq berkata ketika itu dia dalam perjalanan ke pekan Rengit untuk membeli barangan keperluan dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama kira-kira 10 minit susulan kemalangan berkenaan.
“Saya lihat sendiri api yang cukup marak membakar kereta dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke pekan Rengit tanpa mengesyaki apa-apa, apatah lagi ia melibatkan ahli keluarga sendiri.
“Selepas hampir sejam, apabila tiba di rumah di Kampung Sri Ladang, beberapa kenalan sudah berkumpul di hadapan rumah dan memberitahu adik saya terlibat dalam kemalangan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini hari ini.
Kamal Syafiq berkata sebaik menerima perkhabaran itu, fikirannya terus terbayang kemalangan yang dilihatnya kira-kira empat kilometer dari rumah sebelum bergegas semula ke lokasi bersama bapanya, Maskat Sarjan, 74, bagi mendapatkan kepastian.
Katanya, apabila mereka tiba di tempat kejadian, kebakaran sudah berjaya dipadamkan dan dimaklumkan terdapat dua mangsa rentung di dalam kereta itu.
“Apabila saya mendekati mangsa untuk membuat pengecaman, memang betul itu adik saya berdasarkan rantai yang dipakainya. Saya tidak mampu berkata apa-apa apabila melihat keadaan adik, cuma air mata yang mengalir sementara ayah pula hampir pitam,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian, adiknya bersama seorang rakan sekerja, Mohammed Erfan, 17, seorang pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang turut rentung dalam insiden berkenaan, keluar bagi membeli beberapa barangan keperluan tempat kerja. Kedua-dua mangsa bekerja di sebuah zoo mini di Rengit.
Kamal Syafiq berkata kehilangan adik bongsu daripada empat beradik itu amat dirasai keluarga, terutama ibu mereka, Hamimah Miskiah, 71, yang tinggal serumah dengan Allahyarham memandangkan dia seorang yang ceria dan suka mengusik.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata siasatan awal mendapati Proton Saga dipandu Kamal Nur Hafizi dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan Proton Wira kira-kira 8.20 malam.
Beliau berkata akibat pertembungan itu, Proton Saga tersebut terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum terbakar manakala pemandu Proton Wira berusia 37 tahun dan ibunya, 60, cedera serta menerima rawatan di HSNI.
– BERNAMA