Kalangan pakar ekonomi menyifatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua (Q2) 2015 adalah lebih baik berbanding jangkaan biarpun negara berdepan penyusutan nilai ringgit.

Menerusi pengumuman oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini, ekonomi Malaysia tumbuh sederhana sebanyak 4.9 peratus bagi tempoh Q2 2015 berbanding 5.6 peratus pada suku pertama (Q1) 2015, yang sebahagian besarnya dipacu permintaan sektor swasta.

Ini disusuli pemulihan seketika ringgit yang mencecah paras 3.99 berbanding US$1 dolar Amerika Syarikat (AS) sebelum ditutup pada 4.00, jam 5 petang ini.

Pakar Ekonomi Standard Chartered Bank, Jeff Ng, berkata pertumbuhan KDNK berkenaan dijana sokongan agak meluas, termasuk pertumbuhan kukuh dicatatkan sektor perlombongan, perkhidmatan dan perusahaan berikutan permintaan yang positif.

Seperti dinyatakan Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor perlombongan dan kuari yang mewakili 9.1 peratus daripada ekonomi negara, menyederhana kepada 6.0 peratus (pada Q1 angkanya 9.6 peratus), dipengaruhi oleh penurunan dalam pengeluaran gas asli serta penyederhanaan pengeluaran minyak mentah.

Sektor perkhidmatan dan perusahaan pula masing-masing berkembang sebanyak lima peratus dan 4.2 peratus berbanding setahun sebelumnya manakala industri perlombongan dan kuari tumbuh sebanyak enam peratus.

"Ini bermakna pertumbuhan itu akan terus baik tahun ini biarpun jangkaan awal akan berlakunya kelembapan akibat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)," kata Ng kepada Bernama.

Nada optimis itu turut dikongsi Dekan Fakulti Perniagaan, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Dr Yeah Kim Leng, yang melihat prestasi KDNK itu lebih baik berbanding jangkaan sebanyak 4.5 peratus.

Mengulas prestasi permintaan sektor swasta, beliau berkata, apa yang penting ialah ia ternyata menepis kebimbangan awal mengenai impak pelaksanaan GST apabila ia sebaliknya sederhana dan kurang daripada jangkaan.

"Bersandarkan perkembangan itu, saya percaya perbelanjaan pengguna akan pulih lebih cepat daripada jangkaan dan berkemungkinan berlaku pada separuh kedua tahun ini.

"Mengenai prestasi secara keseluruhannya, Malaysia masih berada di landasan untuk mencatat pertumbuhan sebanyak lima peratus bagi tempoh tahun penuh," katanya.