KUALA LUMPUR: Fitch Solutions Country Risk and Industry Research (Fitch Solutions) mengekalkan unjurannya untuk pertumbuhan kredit di Malaysia berkurangan sedikit kepada 4.3 peratus pada tahun ini daripada 4.5 peratus pada 2022, berikutan prospek ekonomi yang lemah dan kos pinjaman yang tinggi.

Fitch Solutions berpandangan bahawa "bank-bank di Malaysia secara agregat dijangka kekal pada kedudukan yang stabil walaupun terdapat potensi limpahan negatif daripada tekanan perbankan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berikutan kecairan dan penampan modal yang kukuh serta persekitaran monetari yang kurang sekatan."

"Kualiti aset juga kekal agak stabil walaupun langkah-langkah sokongan telah ditamatkan secara berperingkat dan kemerosotan yang ketara tidak akan dijangka dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya dalam nota penyelidikan.

Katanya risiko penurunan terhadap kestabilan kewangan negara kekal sederhana dengan bank kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pengantaraan kewangan walaupun terdapat potensi limpahan negatif daripada tekanan perbankan di AS dan Eropah.

"Yang penting, bank-bank mempunyai penampan modal dan mudah tunai yang kukuh manakala kualiti aset kekal agak stabil walaupun langkah-langkah bantuan pandemik telah tamat.

"Kitaran kenaikan kadar di Malaysia juga lebih secara berperingkat dan sederhana berbanding negara-negara lain berikutan inflasi yang lebih rendah dan kadar faedah dijangka mencapai paras tinggi tidak lama lagi," katanya.

Fitch Solutions berkata bank-bank di Malaysia juga mempunyai permodalan yang baik dengan nisbah modal sistem perbankan agregat pada 18.5 peratus pada Februari 2023 berbanding purata pada 18.3 peratus pada 2022.

"Ini jauh lebih tinggi daripada minimum kawal selia sebanyak 10.5 peratus (8.0 peratus jumlah nisbah modal dan 2.5 peratus penampan pemuliharaan modal), membawa kepada lebihan penampan modal sebanyak RM135 bilion.

"Nisbah Modal Ekuiti Biasa Peringkat 1 (CET1) dan Nisbah Modal Peringkat 1, masing-masing pada 14.8 peratus dan 15.3 peratus pada Februari berbanding keperluan Basel III sebanyak 4.5 peratus dan 6.0 peratus," katanya.

Fitch Solutions berkata liputan mudah tunai sistem perbankan dan nisbah pinjaman kepada deposit yang kukuh akan terus menyokong kestabilan kewangan di negara ini.

Data terkini menunjukkan nisbah liputan mudah tunai meningkat kepada 152.7 peratus pada November 2022 daripada 147.1 peratus pada Januari 2022, lebih tinggi daripada keperluan minimum sebanyak 100 peratus, menunjukkan margin keselamatan yang tinggi, katanya.

"Nisbah pinjaman kepada deposit agak stabil, kekal dalam julat 85-90 peratus sejak 2014, dengan angka terkini sebanyak 86.4 peratus," katanya.

-- BERNAMA