Pelantikan Malek Razak sebagai PAT langkah strategik pacu pembaharuan - ATM

Malek Razak (tengah) secara rasmi dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24. - Gambar Mindef
KUALA LUMPUR : Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman secara rasmi dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24.
Majlis pemakaian pangkat dan pelantikan disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Wisma Pertahanan, di sini, pada Selasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Beliau yang kini berusia 59 tahun turut dinaikkan ke pangkat Jeneral berkuat kuasa mulai 1 Februari lalu.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, dalam satu kenyataan, menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai langkah strategik bagi memacu pembaharuan institusi serta memperkukuh semula keyakinan rakyat terhadap organisasi pertahanan negara, ketika ATM berdepan cabaran besar dalam landskap keselamatan semasa yang semakin kompleks.
Menurut kenyataan itu, dalam persekitaran keselamatan yang semakin mencabar, kepimpinan tertinggi ATM bukan sahaja dituntut berwibawa dari sudut operasi, malah berperanan sebagai pemacu nilai dan prinsip profesionalisme ketenteraan.
Pelantikan baharu itu, katanya, membawa mandat penting untuk memperkukuh tatakelola, akauntabiliti serta disiplin kepimpinan dalam usaha melaksanakan penetapan semula institusi secara menyeluruh.
"Justeru, kepimpinan ini membawa tanggungjawab besar dalam menetapkan hala tuju yang jelas, berteraskan ketelusan, disiplin serta pematuhan kepada nilai-nilai teras perkhidmatan ketenteraan," kata kenyataan itu di sini, pada Selasa.
Sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-24, kata kenyataan itu, kepimpinan yang ditampilkan bukan sekadar berfungsi melalui struktur perintah, sebaliknya turut bertunjangkan autoriti moral yang berupaya menyatukan seluruh warga ATM.
"Pendekatan kepimpinan melalui teladan, ketegasan terhadap salah laku, serta sokongan terhadap sistem semak dan imbang dilihat sebagai asas penting dalam memulihkan kekuatan dalaman organisasi," ujarnya.
Selain itu menurut kenyataan tersebut, pelantikan itu juga disifatkan sebagai peluang strategik untuk melaksanakan penetapan semula institusi secara menyeluruh, meliputi budaya kerja, sistem pengurusan serta amalan kepimpinan.
"Tumpuan terhadap pembinaan semula kepercayaan, sama ada di peringkat dalaman mahupun luaran, diyakini mampu memperkukuh kesiapsiagaan ATM sebagai sebuah pasukan pertahanan yang profesional, berintegriti dan dihormati," jelasnya.
Malek Razak merupakan lulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan (Master of Arts in Defence Studies) dari King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.
Perkhidmatan beliau bermula pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom sebelum ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.
Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang berwibawa.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum berkhidmat dalam pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf.
Jawatan terakhir beliau ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


