Mogok seluruh negara lumpuhkan pengangkutan awam di Jerman

Tindakan mogok yang dianjurkan oleh kesatuan sekerja Verdi itu menyebabkan perkhidmatan bas, trem dan kereta api bawah tanah terhenti sejak 3 pagi. - Gambar/ AP
BERLIN: Pengangkutan awam di seluruh Jerman mengalami gangguan yang serius pada Isnin apabila mogok seluruh negara menjejaskan hampir kesemua 16 negeri persekutuan, dengan pekerja menuntut penambahbaikan keadaan kerja, lapor Xinhua.
Tindakan mogok yang dianjurkan oleh kesatuan sekerja Verdi itu menyebabkan perkhidmatan bas, trem dan kereta api bawah tanah terhenti sejak 3 pagi (0200 GMT) Isnin, sekali gus menyebabkan gangguan besar kepada pengguna yang terjejas akibat keadaan jalan raya berais.
Menurut Kelab Automobil Jerman, kesan terhadap trafik jalan raya amat ketara khususnya semasa waktu puncak sebelah pagi, terutamanya di kawasan metropolitan utama, apabila ramai pengguna jalan raya bertolak lebih awal daripada biasa.
Penyedia perkhidmatan e-panggilan, Freenow, melaporkan peningkatan mendadak permintaan terhadap teksi pada waktu pagi, dengan jumlah permintaan direkodkan kira-kira 1.5 kali ganda berbanding kebiasaan pada Isnin.
Di Hamburg, permintaan meningkat lebih empat kali ganda, manakala di Munich meningkat tiga kali ganda dan kira-kira 50 peratus lebih tinggi di Berlin.
Verdi berkata mogok itu bertujuan menuntut penambahbaikan ketara bagi pekerja pengangkutan awam, termasuk pengurangan tempoh kerja mingguan dan syif, tempoh rehat yang lebih panjang, serta bayaran bonus yang lebih tinggi bagi kerja waktu malam dan hujung minggu.
Keadaan cuaca musim sejuk memburukkan lagi gangguan apabila Perkhidmatan Cuaca Jerman memberi amaran mengenai hujan beku dan jalan raya berais yang menjejaskan beberapa kawasan di negara itu.
Keadaan musim sejuk berpanjangan, termasuk suhu bawah sifar dan salji menyebabkan gangguan pengangkutan di beberapa bandar, termasuk Berlin.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


