KUALA LUMPUR: Pertumbuhan pelaburan yang mencukupi dalam permintaan domestik khususnya penggunaan swasta, akan terus menyokong dan mengekalkan pengembangan pertumbuhan utama Malaysia yang munasabah pada tahun depan walaupun pertumbuhan global akan menjadi kebimbangan kritikal bagi ekonomi terbuka negara.

Ketua bersama strategi makro global Manulife Investment Management (M) Bhd, Sue Trinh berkata Bank Negara Malaysia telah mengambil langkah yang betul dengan mengekalkan pendekatan yang sangat beransur-ansur berbanding kitaran pengetatan agresif yang dilihat dalam beberapa ekonomi pasaran sedang pesat membangun lain di tengah-tengah kenaikan inflasi.

"Sama seperti majoriti bank pusat di rantau ini yang sepatutnya mencapai kemuncak serta potensi kitaran pengetatannya pada suku pertama 2023," katanya semasa Taklimat Media Maya Tinjauan Pelaburan Manulife 2023 pada Isnin.

Beliau ketika mengulas mengenai pasaran ekuiti Malaysia berkata pembukaan semula ekonomi penuh Malaysia akan membantu melonjakkan pertumbuhan utama.

"Dan ketika negara sedang menerima manfaat daripada pembukaan semula ekonomi China, pasaran Malaysia menjanjikan tarikan," katanya.

Pasaran Malaysia dilihat agak positif daripada perspektif makro tetapi daripada pandangan luaran di peringkat global, prospek mungkin tidak begitu kondusif bagi suku pertama 2023.

"Secara keseluruhan, kebanyakan ekonomi maju serta sensitif kadar faedah akan mengalami kemelesetan pada separuh pertama manakala Asia mungkin menyaksikan pemulihan yang agak perlahan berikutan pembukaan semula ekonomi yang lebih lengkap di pasaran tanah besar China, Hong Kong, Jepun dan Taiwan," katanya.

Peningkatan sentimen dengan kecenderungan terhadap lebih banyak aset yang bertahan dalam tempoh terdekat berkemungkinan membawa prestasi berterusan bon gred pelaburan dan pemulihan ketara bagi aset berhasil tinggi.

"Separuh pertama 2023 boleh menjadi saksi kepada siri ketidaktentuan pasaran yang lebih mendalam serta lama tetapi adalah penting untuk tidak melupakan gambaran yang lebih besar iaitu adanya cahaya di hujung terowong.

"Jika anda pelabur jangka panjang, kitaran bank pusat global mungkin beralih ke kedudukan yang lebih lembut pada bahagian kedua tahun ini, mewujudkan keadaan yang jauh lebih baik untuk pasaran kewangan," katanya.

Ketua pengurusan portfolio pelanggan, penyelesaian pelbagai aset Asia dan global, Paul Kalogirou berkata portfolio ekuiti termasuk hutang Malaysia telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dari segi prestasi cemerlang ekuiti dan hutang global.

"Ia bukan hanya pembukaan semula ekonomi domestik dan juga jenis ekonomi komoditi yang dimiliki Malaysia. Jadi, saya fikir pada masa hadapan, masih ada yang berterusan seperti prestasi yang lebih baik daripada ekuiti tempatan dan hutang.

"Tetapi sekali lagi, apabila terdapat lebih banyak kejelasan mengenai Rizab Persekutuan AS (Fed), mengenai dolar US, petunjuk makro serta data makro yang lebih terang pada tahun akan datang, ini seterusnya akan menjadi titik infleksi bagi pelabur untuk mula menambah lebih banyak risiko (aset)," katanya.

Mengenai ASEAN, Trinh berkata kelemahan negara-negara ASEAN berkemungkinan dikurangkan oleh imbangan pembukaan semula yang kukuh di rantau ini dan lembaran imbangan serta inflasi isi rumah yang agak sihat manakala ketidaktentuan kekal rendah dalam ekonomi tersebut menjelang 2023.

Beliau ketika mengulas mengenai pencapaian 2022 memberitahu tahun tersebut merupakan tahun yang penuh dengan cabaran bagi ramai pelabur dengan isu Rusia-Ukraine, gangguan berkaitan pandemik yang berlarutan, inflasi tertinggi dalam beberapa dekad, kelembapan yang meluas dan lebih mendalam daripada jangkaan, krisis kos sara hidup termasuk kadar pengetatan Fed terpantas dalam beberapa dekad adalah faktor utama yang memberi impak kepada pasaran ekuiti dan hutang.

-- BERNAMA