Penerbangan Malaysia (MAS) akan terus mengadakan perubahan radikal demi mengembalikan potensi sebenar syarikat penerbangan negara itu.

Pengerusi MAS, Tan Sri Md. Nor Md. Yusof menegaskan, ia agenda utama pengurusan syarikat itu selepas pelan pemulihan mas yang dimulakan pada 2011.

"Perkhidmatan bertaraf dunia yang dipegang selama ini dilihat menjadi platform untuk MAS mempertingkat prestasi untuk berdaya saing pada masa depan,'' katanya semasa sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) MAS di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 pula, MAS mencatat peningkatan hasil sebanyak 10 peratus kepada RM15.1 bilion berbanding RM13.8 bilion pada tahun sebelumnya, berikutan peningkatan jumlah trafik penumpang.

Bagaimanapun, MAS masih mencatat kerugian selepas cukai sebanyak RM1.174 bilion.

Kerugian ini disebabkan peningkatan kos bahan api, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat dan kos pemulangan pesawat.

Bagi tempoh suku pertama tahun ini pula, MAS mencatat kerugian sebanyak RM443 juta berbanding kerugian RM279 juta pada tahun sebelumnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada kemungkinan kerajaan akan menutup MAS, buat masa ini.

Jelasnya, walaupun MAS mencatat kerugian, hala tuju syarikat itu masih belum diputuskan, dan implikasi kewangan kepada kerajaan adalah berdasarkan keputusan yang akan ditentukan hasil kajian Khazanah Nasional Bhd, sebagai pemegang saham terbesar.

Khazanah ketika ini menguasai 69.4 peratus kepentingan MAS.

MAS merupakan antara syarikat penerbangan terbaik dunia. Daripada ratusan syarikat penerbangan yang dinilai firma perunding Skytrax di seluruh dunia, hanya tujuh dikelaskan sebagai syarikat penerbangan lima bintang, dan MAS adalah satu daripadanya.

Faktor utama mendapatkan lima bintang adalah keupayaan syarikat penerbangan memberikan perkhidmatan dan produk berkualiti tinggi secara amat konsisten, menurut Skytrax berpusat di Britain.

Antara anugerah diterima MAS adalah Kru Kabin Terbaik Dunia (2001–2004, 2007, 2009, 2012), Syarikat Penerbangan 5-Bintang (2005–2007, 2009, 2012), Anugerah Kelas Ekonomi Terbaik Dunia (2010) dan Syarikat Penerbangan Peneraju Asia (2010, 2011).