MALAYSIA
CAAM, Boeing bekerjasama untuk pertingkat pengurusan trafik di KLIA

Boeing dan Malaysia telah bekerjasama selama 78 tahun untuk menyokong pembangunan keupayaan aeroangkasa dan pertahanan di negara ini. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat aeroangkasa global, Boeing telah bekerjasama untuk menjadikan operasi trafik udara lebih cekap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kerjasama strategik ini akan meningkatkan kecekapan operasi di salah satu lapangan terbang paling sibuk di Asia Tenggara dengan menyelaraskan koordinasi antara juruterbang dan pengawal trafik udara bagi pengurusan trafik udara lebih lancar.
CAAM dan Boeing dalam kenyataan bersama pada Selasa berkata konsep operasi baharu itu selepas dilaksanakan akan menambah baik cara pesawat mendekati landasan dan mendarat, ia akan menggunakan laluan penerbangan dan profil penurunan (untuk mendarat) lebih pintar serta membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan mengurangkan kelewatan, pada masa sama mengekalkan reka bentuk ruang udara sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud menekankan kepentingan kerjasama ini dan berkata inisiatif itu adalah langkah penting dalam menyelaraskan pengurusan trafik udara Malaysia dengan amalan terbaik antarabangsa."Dengan bekerjasama dengan Boeing, kami memanfaatkan kepakaran global untuk mengoptimumkan operasi di KLIA, memastikan kami bersedia untuk menampung pertumbuhan masa depan dengan selamat dan mampan.
Usaha itu mencerminkan komitmen berterusan CAAM terhadap inovasi dan kecemerlangan kawal selia dalam sektor penerbangan Malaysia," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Strategi Produk, Pembangunan Produk dan Program Pembangunan Boeing Commercial Airplanes Mike Sinnett berkata pertumbuhan penumpang udara di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Kami komited untuk menyokong industri penerbangan awam di Malaysia dan bekerjasama dengan CAAM untuk menyediakan penyelesaian jangka panjang yang mampan, meningkatkan keselamatan dan kecekapan sistem trafik udara modennya," katanya.
Dalam kenyataan bersama itu juga menyebut kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat untuk menilai operasi semasa dan membangunkan konsep baharu, ia akan melalui semakan semula kawal selia dan pensijilan di Malaysia.
Apabila konsep baharu itu diiktiraf, Boeing akan menyokong CAAM menerusi proses pelaksanaannya dengan menggunakan kepakaran globalnya dalam prestasi pesawat dan pengurusan trafik udara untuk menyokong matlamat penerbangan Malaysia.
Boeing dan Malaysia telah bekerjasama selama 78 tahun untuk menyokong pembangunan keupayaan aeroangkasa dan pertahanan di negara ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami