MALAYSIA
Isi makna merdeka dengan pertahan perpaduan, keamanan negara - Ewon

Ewon (tengah) bersama penduduk Kampung dan murid-murid Sekolah Kebangsaan Sugud yang turut memeriahkan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Kampung Penempah Kondis pada Selasa. - Gambar Bernama
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menggesa rakyat Malaysia khususnya di Sabah supaya mengisi makna kemerdekaan negara dengan mempertahan perpaduan, kesejahteraan dan keamanan yang dikecapi kini.
Beliau berkata pendekatan itu penting demi kebaikan sejagat kerana hanya dengan keharmonian dan kestabilan, pembangunan negara lebih mampan dapat dilaksana selain kedaulatan negara terus dipertahan.
"Ini semua bermula dengan kerjasama, perpaduan dan keharmonian kerana jika rakyat saling bercanggah antara satu sama lain, tidak mampu untuk saling bekerjasama atau saling berharmoni, bagaimana mungkin kedaulatan dapat dipertahankan.
"Ini kerana (perpecahan dan perbalahan) memungkinkan pihak luar untuk lebih memecah-belahkan apa yang ada di negara ini jika rakyatnya saling bercanggah... sebab itu pada saya penting perpaduan, kerjasama dan keharmonian (terus dipelihara)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 Sabah di sini pada Selasa.Kembara yang melibatkan 20 kenderaan membawa 60 peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan itu akan melakukan perjalanan sejauh 2,500 kilometer selama 20 hari merangkumi 75 lokasi singgahan di seluruh negeri.
Program tahunan Jabatan Penerangan Sabah itu membawa misi untuk memastikan masyarakat terlibat secara langsung dalam sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini.
Penampang merupakan daerah pertama dikunjungi hari ini sebelum kembara itu berakhir di Tuaran pada 23 Ogos.
Ewon berkata program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.
Beliau turut mengajak rakyat Sabah untuk bersama-sama terlibat dalam inisiatif Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang dengan mengibarkan sekurang-kurangnya satu bendera di kediaman masing-masing.
Mengulas tema Hari Kebangsaan 'Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni', Ewon berkata ia selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 melihat kepada komitmen Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperkasa wawasan pembangunan negara terutama meningkatkan martabat rakyat.
"Saya berharap tema ini sampai ke lapangan. Saya yakin rakyat memahami apa yang sedang dilaksanakan kerajaan bukan hanya untuk menyantuni tetapi juga mahu membela dan mengangkat martabat rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami