KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan didakwa menyisihkan Sabah dan Sarawak selepas hanya memperuntukkan masing-masing sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion untuk dua negeri itu pada Bajet 2022 yang baru diumumkan minggu lalu.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa peruntukan tersebut hanya meliputi 3.04 peratus daripada keseluruhan nilai Bajet 2022 berjumlah RM322.5 bilion.

Justeru, Mohd Shafie berpendirian, kerajaan perlu  berlaku adil kepada semua negeri untuk mencapai kemakmuran dalam negara.

"Untuk rekod pada 2020, Sabah dan Sarawak menyumbang lebih kurang RM145 bilion melalui keuntungan hasil petroleum kepada Kerajaan Persekutuan. Ini merangkumi 45 peratus daripada jumlah Belanjawan 2022.

"Satu jumlah yang besar, tetapi  peruntukan yang diberikan kepada kedua-dua negeri Borneo ini masih tidak signifikan  untuk membantu melonjak pembangunan di negeri-negeri ini.

"Dalam bajet ini, peruntukan yang diberikan kepada kaum Cina ialah RM200 juta, kaum India ialah RM145 juta dan Orang Asli adalah RM247 juta. Namun, peruntukan pembangunan untuk semua kaum di Sabah dan Sarawak hanya RM10 juta. Dimanakah keadilannya?," katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Membahaskan lebih lanjut, beliau berkata janji yang dibuat kepada Sabah dan Sarawak ketika penubuhan Malaysia pada 1963 mesti dikotakan untuk kebaikan bersama.

Jelas Mohd Shafie, hanya dengan pembahagian kekayaan dan sumber yang adil dan saksama sahaja membuatkan rakyat di setiap negeri hidup aman damai dan bardaya maju.

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi Bajet 2022 juga, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk membayai kos pengangkutan ke kawasan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.

"Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) juga menyebut bahawa kawasan yang terlibat ialah Kudat dan Long Pasia di Sabah dan Ba’kelalan dan Bario di Sarawak.

"Namun demikian, setakat ini tiada penerbangan yang dibuat di kawasan Kudat dan Long Pasia. Jadi kita memerlukan penjelasan daripada pihak Kerajaan bagaimana subisidi ini akan dilaksanakan memandangkan tiada pengangkutan udara yang menghubungkan daerah berkenaan," katanya lagi.