BISNES
Pesara guru KEMAS rugi lebih RM200,000 ditipu sindiket 'phone scam'

Mangsa menyedari ditipu selepas mendapati wang pencen sebanyak RM173,000 yang dipindahkan ke akaun bank konvensional tersebut telah lesap. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang pesara guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) wanita kerugian RM200,300 selepas diperdaya sindiket 'phone scam'.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 25 Mei lepas, mangsa yang berusia 62 tahun telah menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai wakil insurans.
Beliau berkata mangsa yang berasal dari Bukit Petiti, Manir, kemudian didakwa membuat tuntutan insurans palsu, sebelum disambungkan ke rakan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman.
"Suspek menawarkan ikat jamin kepada mangsa bagi mengelak ditangkap. Mangsa juga diminta menyerahkan wang tersebut kepada Bank Negara kononnya untuk tujuan siasatan."Mangsa yang ketakutan membuat pemindahan wang dari akaun Tabung Haji ke akaun bank konvensional miliknya. Dia juga diarah supaya menyerahkan maklumat perbankan tersebut kepada suspek, selain membuat pemindahan wang secara berperingkat ke dalam empat akaun berbeza berjumlah RM26,700," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa menyedari ditipu selepas mendapati wang pencen sebanyak RM173,000 yang dipindahkan ke akaun bank konvensional tersebut telah lesap.
Pemeriksaan mendapati terdapat 18 transaksi pemindahan wang daripada akaun miliknya ke enam akaun tidak dikenali dalam tempoh 6 hingga 19 Jun lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami