Skip to main content

Bisnes

PETRONAS catat untung bersih RM45.4 bilion, susut 18 peratus pada 2025

PETRONAS PC
Sidang Media Pengumuman Keputusan Kewangan Kumpulan PETRONAS bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2025, di sini pada Jumaat. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM45.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, menyusut sebanyak 18 peratus berbanding RM55.1 bilion tahun lalu.

Penurunan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh harga purata direalisasi yang lebih rendah, jumlah jualan yang menurun, kesan pertukaran asing serta pelupusan Kumpulan Engen.

Advertisement

Pendapatan kumpulan pula mencatatkan sebanyak RM266.1 bilion, menurun sebanyak 17 peratus berbanding RM320.0 bilion dalam tempoh sama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata prestasi berdaya tahan yang dicapai pada 2025 mencerminkan komitmen syarikat terhadap pengurusan kewangan berhemah dan pertumbuhan berdisiplin dalam suasana operasi yang mencabar.

Menurut beliau, dalam keadaan pasaran yang tidak menentu dan kos yang meningkat, PETRONAS terus memperkukuh daya tahan portfolio melalui perkongsian strategik, penambahbaikan kualiti portfolio serta inisiatif yang menjana nilai tambah.

“Strategi Peralihan Tenaga PETRONAS telah diperkenalkan bagi memandu usaha seluruh kumpulan dalam menghadapi ketidaktentuan yang berpanjangan serta persekitaran operasi yang mencabar.

“Strategi ini merangkumi, pertama, memperkukuh perniagaan teras kami iaitu hidrokarbon. Kedua, mempercepat pertumbuhan baharu yang menjana nilai. Dan ketiga, mengurus pelepasan secara bertanggungjawab merentasi rantaian nilai bersepadu kami.

“Tiga tonggak utama ini kekal relevan sepanjang masa dan terus signifikan dalam menghadapi pelbagai perkembangan global yang tidak dijangka,” katanya dalam Sidang Media Pengumuman Keputusan Kewangan Kumpulan PETRONAS bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2025, di sini pada Jumaat.

Dalam tempoh dikaji, PETRONAS memaklumkan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) juga berkurang 10 peratus kepada RM103.0 bilion, selaras dengan keuntungan yang lebih rendah.

Pada 2025, Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) berjumlah RM85.2 bilion, sejajar dengan paras EBITDA yang lebih rendah.

Dari segi perbelanjaan modal, Pelaburan Modal (CAPEX) berjumlah RM41.6 bilion, terutamanya bagi menyokong aktiviti pembangunan dan pengeluaran sektor huluan (Upstream).

“Jumlah aset Kumpulan mengukuh kepada RM775.0 bilion.

“Bagaimanapun, ekuiti pemegang saham menurun kepada RM448.3 bilion, terutamanya disebabkan dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham serta pergerakan pertukaran asing, yang sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan dalam tempoh tersebut,” kata syarikat itu dalam kenyataan berasingan.

Syarikat minyak dan gas negara itu menambah, PETRONAS akan menggandakan usaha untuk memperkukuh portfolio dan kedudukan kewangan di sebalik cabaran geopolitik dalam industri dijangka terus berlarutan.

Must Watch Video