Skip to main content

Dunia

Pembangkang Israel tuduh Netanyahu cuba pertikai kesahihan keputusan pilihan raya

Rabbi Chaim Hager membuang undi di sebuah pusat pengundian di Bnei Brak sempena pilihan raya umum Israel, sementara diperhatikan penyokong Yahudi ultra-Ortodoks, pada Selasa lepas. - Gambar AP
Rabbi Chaim Hager membuang undi di sebuah pusat pengundian di Bnei Brak sempena pilihan raya umum Israel, sementara diperhatikan penyokong Yahudi ultra-Ortodoks, pada Selasa lepas. - Gambar AP

Advertisement

TEL AVIV: Pemimpin utama pembangkang Israel, Gadi Eisenkot bersama pemimpin parti-parti Arab mengecam Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu selepas beliau mendakwa wujud campur tangan asing dalam pilihan raya yang menyaksikan gabungan pemerintahnya kehilangan majoriti di Parlimen.

Parti Likud yang dipimpin Netanyahu menuduh parti-parti Arab di Israel "mencuri" pilihan raya, manakala agensi keselamatan domestik Shin Bet dilaporkan sedang menyiasat dakwaan bahawa mereka menerima pembiayaan haram daripada Qatar dan Turkiye.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Qatar menafikan tuduhan itu yang disifatkannya sebagai "tidak masuk akal dan berbahaya", selain menuduh ahli politik Israel menjalankan kempen maklumat palsu terhadap Doha.

Keputusan rasmi pilihan raya mengesahkan bahawa tiada satu pun blok politik sama ada yang dipimpin Netanyahu atau pembangkang Yahudi berjaya memperoleh majoriti kerusi di Parlimen.

Dua gabungan parti Arab, iaitu The Joint List dan Ra'am, mencipta rekod apabila memenangi 19 daripada 120 kerusi di Knesset susulan peningkatan ketara kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Arab.

Pencapaian itu meletakkan kedua-dua parti berkenaan sebagai penentu kuasa politik, dengan blok Netanyahu memperoleh 53 kerusi manakala blok pimpinan Eisenkot meraih 48 kerusi.

Pada Khamis, Likud mendakwa terdapat pengundi yang "disogok" untuk mengundi parti-parti Arab selepas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (CEC) meminta Shin Bet menyiasat "syak wasangka serius" berhubung campur tangan asing.

Kedua-dua parti Arab menolak dakwaan itu, dengan gabungan The Joint List yang didominasi masyarakat Arab menyifatkannya tidak berasas.

Pertikaian tersebut dilihat pengkritik Netanyahu sebagai cubaan untuk menjejaskan kredibiliti parti-parti Arab sekali gus menyukarkan Eisenkot menjalin kerjasama dengan mereka, yang ketika ini dianggap sebagai satu-satunya laluan realistik untuk blok pembangkang membentuk kerajaan.

Media Israel melaporkan CEC menerima dakwaan bahawa Qatar menyalurkan dana bagi meningkatkan kadar keluar mengundi dalam komuniti Arab. Kementerian Luar Qatar bagaimanapun menafikan dakwaan itu secara tegas.

Netanyahu dan parti Likud menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai "gempa politik" serta "serangan terhadap demokrasi" yang bertujuan menyingkirkan kerajaan berhaluan kanan pimpinannya.

Namun, Shin Bet kemudian menjelaskan bahawa siasatannya tidak menyasarkan keseluruhan komuniti yang mengundi secara sah. Pemangku Ketua Pengarah CEC, Dean Livne, turut menegaskan tiada asas bagi dakwaan berlakunya pencabulan sistematik terhadap integriti pilihan raya.

Eisenkot yang telah diberi taklimat mengenai siasatan itu berkata masih terlalu awal untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku, malah tidak dapat dipastikan sama ada sebarang pelanggaran benar-benar berlaku.

Beliau turut menuduh Netanyahu melancarkan "kempen terancang dan tersusun" untuk mempertikaikan keputusan pilihan raya.

Pengerusi Balad, Sami Abu Shehadeh yang merupakan sebahagian daripada The Joint List, menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah berbaur perkauman dan mendakwa pihak yang kalah cuba menggunakan agensi keselamatan untuk membatalkan keputusan pilihan raya.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Netanyahu turut berulang kali menyasarkan pengundi dan parti Arab menerusi kenyataan awam. Pada hari pengundian, beliau memuat naik beberapa hantaran media sosial yang menyifatkan kadar keluar mengundi tinggi dalam kalangan masyarakat Arab sebagai "situasi kecemasan" dan "soal hidup atau mati" bagi kem politik sayap kanan.

Beliau juga berkongsi imej yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) memaparkan pengundi Arab di pusat pengundian, dipercayai sebagai usaha menggalakkan penyokong sayap kanan keluar mengundi.

Masyarakat Arab Israel, yang sebahagian besarnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Palestin yang memegang kerakyatan Israel, merangkumi kira-kira satu perlima daripada populasi negara itu.

Selama bertahun-tahun, ramai antara mereka memboikot pilihan raya Israel kerana berpendapat penyertaan dalam proses itu hanya akan mengabsahkan sistem yang didakwa melayan mereka sebagai warga kelas kedua.

Namun, kadar penyertaan yang meningkat pada pilihan raya kali ini didorong keinginan untuk menyingkirkan gabungan kerajaan paling berhaluan kanan dalam sejarah Israel yang dipimpin Netanyahu.

Keputusan akhir pilihan raya kini membuka tiga kemungkinan utama bagi pembentukan kerajaan baharu, iaitu kerajaan perpaduan nasional melibatkan Netanyahu dan Eisenkot, gabungan sayap kanan yang dipimpin Netanyahu dengan sokongan ahli politik yang berpaling tadah daripada blok Eisenkot atau kerajaan pimpinan Eisenkot yang mendapat sokongan parti-parti Arab.

Walaupun Eisenkot dan hampir keseluruhan anggota bloknya sebelum ini menolak kerjasama dengan parti Arab dalam kerajaan, spekulasi terus timbul bahawa persefahaman politik masih boleh dicapai.

Sementara itu, tinjauan kilat yang dijalankan Universiti Hebrew mendapati pilihan paling popular dalam kalangan penyokong parti-parti pembangkang adalah Eisenkot membentuk kerajaan minoriti bersama Ra'am, dengan sokongan luar daripada The Joint List. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement