Skip to main content

Bisnes

QatarEnergy meterai perjanjian 20 tahun beli sehingga 3 juta tan LNG AS setahun

QatarEnergy umum perjanjian 20 tahun dengan syarikat Woodside Energy, untuk membeli sehingga tiga juta tan LNG setahun daripada projek Louisiana LNG di AS. REUTERS
QatarEnergy umum perjanjian 20 tahun dengan syarikat Woodside Energy, untuk membeli sehingga tiga juta tan LNG setahun daripada projek Louisiana LNG di AS. REUTERS

Advertisement

DOHA: Syarikat tenaga milik kerajaan Qatar, QatarEnergy pada Khamis mengumumkan bahawa pihaknya menandatangani perjanjian selama 20 tahun dengan syarikat tenaga gergasi Australia, Woodside Energy, untuk membeli sehingga tiga juta tan gas asli cecair (LNG) setahun daripada projek Louisiana LNG di Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.

Menurut QatarEnergy dalam satu kenyataan, penghantaran di bawah perjanjian jual beli itu akan dibuat berdasarkan syarat serahan di atas kapal (FOB) dan dijangka bermula pada 2030.

Projek berkenaan kini sedang dibina di sepanjang Pantai Teluk AS.

Woodside memaklumkan bahawa bekalan akan bermula daripada unit pencairan gas kedua projek itu dan meningkat kepada tiga juta tan setahun apabila unit ketiga mula beroperasi.

Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tenaga Qatar merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif QatarEnergy Saad Sherida Al-Kaabi berkata jumlah tambahan LNG itu menjadikan QatarEnergy pembeli LNG AS terbesar serta memperkukuh keupayaannya memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.

Beliau berkata projek LNG Golden Pass yang dilaksanakan secara bersama oleh Qatar dan AS, selain peningkatan pembelian LNG dari AS, menyokong strategi pertumbuhan dan kepelbagaian jangka panjang syarikat itu.

Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha QatarEnergy untuk mengembangkan portfolio pembekalan dan perdagangan LNG globalnya.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement