Skip to main content

Dunia

Ketua Parti Centre dicalonkan sebagai PM Sweden ketika kebuntuan politik

Elisabeth Thand_FB Elisabeth Thand Ringqvist
Elisabeth Thand_FB Elisabeth Thand Ringqvist

Advertisement

Ringkasan AI

  • Speaker Parlimen Sweden mencalonkan Elisabeth Thand Ringqvist sebagai perdana menteri baharu, dengan pengundian Parlimen dijadualkan pada 3 November.
  • Pencalonan ini bertujuan mengatasi kebuntuan politik selepas beberapa usaha gagal membentuk kerajaan susulan pilihan raya umum September lalu.
  • Jika pencalonan ditolak, Ketua Parti Moderate Ulf Kristersson akan diberi peluang seminggu untuk meneroka pembentukan kerajaan baharu.

HELSINKI: Speaker Parlimen Sweden Andreas Norlen pada Khamis mencalonkan Ketua Parti Centre Elisabeth Thand Ringqvist sebagai perdana menteri baharu negara itu, dengan pengundian di Parlimen dijadualkan pada Selasa depan dalam usaha terbaharu mengatasi kebuntuan politik susulan pilihan raya umum September lepas, lapor Xinhua.

Norlen berkata pengundian pada 3 Nov itu akan menguji sokongan Parlimen terhadap cadangan kerajaan pakatan lima parti yang terdiri daripada Parti Centre, Parti Demokrat Sosial, Parti Demokrat Kristian, Parti Hijau dan Parti Liberal.

Thand Ringqvist mengesahkan kepada Televisyen Sweden (SVT) bahawa beliau menerima pencalonan itu sambil berkata Parti Centre akan "terus memikul tanggungjawab dan memberikan sumbangan secara konstruktif bagi memastikan Sweden mempunyai kerajaan".

Beliau berkata Speaker membuat keputusan mencalonkannya selepas perbincangan antara mereka, walaupun beliau turut menyatakan bahawa masih terdapat pilihan lain untuk menyelesaikan kebuntuan berkenaan.

Norlen mengucapkan terima kasih kepada Thand Ringqvist atas usahanya meneroka kemungkinan pembentukan kerajaan, sambil berkata usaha itu membantu meningkatkan pemahaman mengenai situasi politik semasa.

Mengambil iktibar daripada proses pembentukan kerajaan Sweden yang berlarutan pada 2018, Norlen berkata beliau mahu menghubungkan rundingan penerokaan dengan pengundian di Parlimen secara lebih rapat bagi mengekalkan momentum dan meningkatkan tekanan secara beransur-ansur terhadap parti politik supaya menyelesaikan kebuntuan itu.

Beliau turut menggariskan langkah seterusnya sekiranya pencalonan Thand Ringqvist ditolak.

 

 

Ulf Kristersson, Ketua Parti Moderate yang juga perdana menteri sementara, akan diberikan tempoh seminggu dari 3 hingga 10 Nov untuk meneroka kemungkinan membentuk kerajaan.

Perkembangan terbaharu itu menyusuli beberapa minggu usaha yang gagal untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum Sweden pada 13 Sept.

Pada 15 Okt, Parlimen menolak pencalonan Ketua Parti Demokrat Sosial Magdalena Andersson sebagai perdana menteri.

Andersson sebelum itu gagal memperoleh sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan selepas dua pusingan rundingan penerokaan.

 

Pada 19 Okt, Norlen menugaskan Thand Ringqvist untuk meneroka kemungkinan membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, selepas mengadakan rundingan dengan parti lain di Parlimen, beliau memaklumkan kepada Speaker pada Isnin bahawa usahanya gagal mengatasi kebuntuan politik berkenaan.

Parti Demokrat Sosial, Parti Kiri, Parti Hijau dan Parti Centre secara keseluruhan memenangi 176 daripada 349 kerusi Parlimen dalam pilihan raya September, memberikan mereka majoriti tipis, namun masih berbeza pendapat mengenai komposisi kerajaan baharu.

Menurut Perlembagaan Sweden, seseorang calon perdana menteri ditolak sekiranya sekurang-kurangnya 175 anggota Parlimen mengundi menentang pencalonannya.

Jika empat pencalonan berturut-turut ditolak, pilihan raya baharu mesti diadakan dalam tempoh tiga bulan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement