KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) memohon supaya lebih banyak pertolongan diberikan kepada PKS yang terjejas akibat banjir buruk di Lembah Klang.

Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, ramai ahli SAMENTA telah melaporkan kerosakan teruk pada kenderaan, jentera dan stok, termasuk ada yang mencecah jutaan ringgit.

‘’Anggaran awal kami ialah antara 12,000 hingga 18,000 PKS terjejas akibat banjir,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dibentuk pada tahun 1986, SAMENTA adalah persatuan untuk perusahaan kecil dan sederhana yang tertua di Malaysia.

Ng berkata, pihaknya bersyukur kerana kerajaan melalui Bank Negara telah menawarkan pinjaman sehingga RM 500,000 dengan faedah rendah kepada PKS yang terjejas.

Namun demikian ujar beliau, SAMENTA meminta pihak kerajaan untuk mengambil langkah seterusnya dengan mengumumkan moratorium bebas faedah selama 3 bulan untuk pembayaran balik pinjaman dari PKS yang terjejas.

‘’Kami juga menggesa kerajaan dan pihak polis supaya memastikan kejadian pecah kedai dan gudang yang dilaporkan tidak berulang.

‘’Kami juga merayu kepada syarikat-syarikat insurans untuk memproses sebarang tuntutan dengan secepat mungkin,’’ kata beliau.

Menurut Ng, bencana ini telah berlaku pada masa yang sukar untuk perniagaan - apabila PKS baru bangkit semula berikutan sekatan-sekatan semasa pandemik COVID-19.

Beliau berkata, Pasukan Petugas SAMENTA untuk Banjir Lembah Klang telah diaktifkan, dan sedang menghantar bekalan kepada isi rumah yang terjejas.

‘’Pemilik PKS yang mengalami kerosakan digalakkan membuat laporan polis dan menghantar salinan kepada kami di [email protected] supaya kami boleh membantu menyelaras bantuan daripada pelbagai agensi,’’ katanya.


*Berita asal di DagangNews.com