KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu diberi sokongan padu agar dapat memanfaatkan peralihan rantaian bekalan global ke negara-negara ASEAN ketika ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Malahan, katanya, ASEAN, sebenarnya merupakan 'China' baharu dan bakal menjadi bukan hanya kilang dunia tetapi juga pangkalan pengguna yang besar.

Tengku Zafrul berkata, ASEAN yang dianggotai 10 negara memiliki lebih daripada 678 juta populasi dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kira-kira AS$3.7 trilion (RM17.4 trilion) pada 2022.

"Sebagai sebuah blok, ASEAN merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia dengan jumlah penduduk kelas pertengahan kira-kira 350 juta orang, mewakili US$300 bilion (RM1.41 trillion) daripada pendapatan boleh guna," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menyediakan bantuan kewangan menerusi skim Pembiayaan Peluang Kedua MIDF (2CF).

Beliau berkata, pada 2022, apabila pelaburan langsung asing (FDI) global jatuh sebanyak 12 peratus, FDI ke ASEAN meningkat sebanyak lima peratus dan bahagian FDI global rantau itu melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah pada 17 peratus.

"Ringkasnya, kelangsungan hidup PKS kita sendiri dalam rantaian bekalan tempatan boleh membantu mereka memanfaatkan bukan sahaja kelas pertengahan ASEAN yang semakin berkembang tetapi juga mengalihkan rantaian bekalan dan FDI ke rantau ini.

"Integrasi ekonomi serantau ini juga merupakan matlamat yang turut disokong oleh rangka kerja Ekonomi Madani," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan maklum akan pengaruh besar faktor luaran ke atas perniagaan dan menyedari bahawa walaupun syarikat yang diurus dengan baik pun boleh mengalami kemunduran akibat daripada keadaan di luar kawalan mereka, terutamanya dalam landskap ekonomi yang sentiasa berkembang.

"Peralihan mendadak keadaan pasaran, gangguan yang tidak diduga, atau pergelutan dalaman boleh menyebabkan syarikat yang mempunyai potensi besar berada di ambang kegagalan dan membawa impak meluas ke atas keseluruhan rantaian bekalan pengeluaran merangkumi pembekal, pelanggan dan kemungkinan masyarakat sekitar," katanya.

Menurutnya, menyediakan talian hayat kewangan kepada syarikat terbabit untuk menyokong pemulihan perniagaan mereka merupakan satu langkah yang amat penting dalam memastikan rantaian bekalan kekal utuh bagi membantu pembangunan sosio ekonomi negara.

"Justeru, kerjasama MIDF-AKPK adalah satu ekosistem pemulihan yang penting dan holistik dari segi menyokong syarikat yang mengalami masalah, terutamanya PKS," kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, pengerusi Kumpulan MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, skim MIDF 2CF tersebut menawarkan pembiayaan antara minimum RM50,000 hingga maksimum RM5 juta pada kadar keuntungan tiga peratus setahun bagi pengiraan faedah bulanan, dengan tempoh sehingga 10 tahun.

Beliau berkata skim itu memberi peluang kepada PKS yang bergelut untuk mendapatkan pembiayaan ekuiti dan juga hutang, terutamanya bagi kes yang mana mereka menghadapi cabaran mendapatkan pembiayaan daripada bank tradisional atau institusi kewangan lain.

Inisiatif ini, katanya, menyalurkan bantuan kewangan kepada syarikat yang ingin membantu perniagaan yang bermasalah malahan syarikat yang berada di bawah AKPK layak memohon skim pembiayaan itu.

"MIDF dan AKPK giat menimbang perkongsian berpotensi untuk memudahkan akses yang lebih besar kepada skim Pembiayaan Peluang Kedua ini bagi PKS yang mengalami masalah kewangan.

"Kami menyasarkan untuk mengintegrasikan dengan lancar skim 2CF ke dalam rangka kerja sokongan lebih meluas yang disediakan oleh AKPK dan MIDF. Ini bagi memastikan PKS yang mengalami masalah kewangan bukan sahaja menerima bantuan kewangan penting tetapi juga mendapat manfaat daripada kepakaran AKPK dalam pemulihan hutang holistik," katanya.

Menurut Abdul Rahman, dari segi sejarah, lebih 63 tahun sejak penubuhannya, MIDF telah meluluskan pembiayaan mudah bernilai RM17.5 bilion yang telah memanfaatkan lebih 13,300 syarikat tempatan.

Beliau menambah MIDF ketika ini menguruskan dana Kerajaan berjumlah RM3.5 bilion dan menyediakan pembiayaan berasaskan Syariah bagi projek, aset tetap dan modal kerja kepada syarikat Malaysia dalam semua sektor ekonomi.

-- BERNAMA