APLIKASI yang baik di stor biasanya adalah versi berbayar. Tiada iklan dan ciri tambahan biasanya tidak ada pada versi percuma.

Tetapi tidak semua orang mampu membeli aplikasi berbayar atas sebab-sebab tertentu.

Kini Google Play Store telah memperkenalkan ciri baharu yang membolehkan pengguna meminta orang lain membayar untuk aplikasi yang ingin dibeli.

Menerusi ciri ini, terdapat butang “Ask someone else to pay” selain pilihan membayar menggunakan kredit Play Store, kod Play Store dan pembayaran menggunakan kad.

Apabila butang ditekan, terdapat sebuah lagi butang untuk berkongsi pautan pembayaran yang kemudian boleh dihantar kepada individu lain menerusi aplikasi pemesejan.

Individu ini kemudiannya boleh memilih untuk melakukan pembayaran bagi pihak pemohon.

Setiap pautan dalam mesej akan hanya boleh digunakan dalam masa 24 jam.

Pada ketika ini, ciri pembayaran oleh pihak ketiga ini hanya diaktifkan di India terlebih dahulu.

Sebelum ini, Google hanya membenarkan bayaran pembelian dilakukan oleh ketua sebuah Family Group untuk membeli aplikasi bagi pihak anak atau sesiapa sahaja di dalam keluarga.

Aplikasi itu kemudiannya dikongsi oleh semua ahli Family Group.

Ciri baharu ini membolehkan pengguna meminta sesiapa sahaja melakukan pembayaran tanpa perlu menyertai Family Group.

Sumber: Android Authority