KUALA LUMPUR: Syarikat pembangunan hartanah negeri, Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) telah menandatangani perjanjian dengan firma pembinaan IJM Corp Bhd dan Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH) untuk menambah baik infrastruktur jalan raya di daerah selatan Selangor.

Inisiatif tersebut tertumpu kepada Pembangunan Wilayah Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) bagi meningkatkan potensi ekonomi daerah Sepang dan Kuala Langat melalui pelbagai projek pembangunan merangkumi perindustrian, logistik, pergudangan, pelabuhan, perdagangan, perumahan, pelancongan dan pendidikan, katanya dalam satu kenyataan bersama.

Ketiga-tiga syarikat ini juga bersedia untuk memberi sumbangan besar kepada kemunculan Selangor sebagai hab penting bagi perdagangan dan pelaburan serantau.

Kerjasama itu akan mengkaji pelbagai laluan sambungan yang berdaya maju dan merancang untuk memperkenalkan rangkaian pengangkutan utama bagi meningkatkan ketersambungan, mengurangkan masa perjalanan dan mewujudkan koridor pembangunan baharu.

Dengan memperkukuh logistik dan kecekapan pengangkutan Selangor, mereka berkata inisiatif itu akan merancakkan ekonomi tempatan dengan menyediakan akses yang lebih baik kepada pasaran, perkhidmatan dan peluang pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata kerjasama tersebut menekankan komitmennya untuk memanfaatkan potensi ekonomi Selatan Selangor.

“Kami berhasrat untuk mewujudkan infrastruktur teguh yang menyokong visi jangka panjang kami untuk pertumbuhan dan pembangunan wilayah sambil menggabungkan elemen mampan dalam Rangka Kerja ESG,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan IJM Lee Chun Fai berkata, kerjasama terbabut bermatlamat untuk memenuhi keperluan infrastruktur dalam tempoh segera dan masa hadapan negeri, memastikan manfaat jangka panjang.

Pengerusi bukan eksekutif LSH, Tan Sri Lim Keng Cheng menambah bahawa gabungan kepakarannya dalam pengurusan modal dan pembangunan infrastruktur akan memastikan kejayaan merealisasikan inisiatif IDRISS. - DagangNews.com