SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah akan memastikan legasi Kesultanan Selangor terus dipelihara dengan memberikan perhatian kepada pengukuhan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, kewibawaan fatwa, pentadbiran Islam, pendidikan dan pengembangan ilmu.
Sultan Sharafuddin bertitah pemerintahan dalam Islam merupakan amanah besar dan perlu didukung melalui hubungan yang berintegriti dengan kerjasama Majlis Agama Islam, kerajaan, mufti, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam serta seluruh jentera pentadbiran negeri.
Baginda bertitah institusi Kesultanan Melayu khususnya Kesultanan Selangor sejak dahulu bukan sekadar menjadi lambang pemerintahan, bahka benteng yang melindungi Islam.
“Pada hemat beta, legasi Kesultanan Selangor dalam memperkasakan Islam terpancar melalui tiga teras utama iaitu kesinambungan pemerintahan dan usaha memartabatkan Islam, dukungan sistem pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu, serta pembinaan institut yang menterjemahkan hukum syarak kepada dasar, fatwa dan perkhidmatan untuk rakyat.
“Ketiga-tiga teras ini hendaklah diperkukuh secara bijaksana melalui pendekatan yang sesuai dengan tuntutan zaman,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj: Legasi Kesultanan Selangor Dalam Memperkasa Islam Di Alam Melayu di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini.
Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan pandangan bahawa hubungan antara ulama dan umara bersifat saling menguatkan, iaitu raja memberikan naungan dan dukungan institusi manakala ulama berani menyampaikan nasihat dengan benar dan bebas daripada kepentingan yang mencemarkan martabat ilmu.
Baginda bertitah hubungan baik bukanlah hubungan yang menutup ruang teguran tetapi menekankan pemeliharaan adab, menghormati bidang kuasa dan mendahulukan kepentingan ummah.
“Sejarah tidak wajar hanya dibaca sebagai kisah kejayaan yang terpisah daripada ujian. Kesultanan Melayu terdahulu berhadapan dengan pelbagai cabaran. Walaupun bentuk pemerintahan berubah, amanah memelihara Islam terus dipertahankan. Di sinilah terletaknya kekuatan sebenar sesebuah legasi,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin dalam titahnya turut menzahirkan harapan kepada para ilmuwan agar satu rumusan yang bernilai dapat dihasilkan daripada program itu, seterusnya diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan kepada generasi muda.
Baginda turut bertitah menyeru agar kemudahan digital dimanfaatkan bagi mendalami ilmu dan tidak bergantung kepada cebisan maklumat daripada video pendek yang tidak dapat dipastikan kesahihan dan sumbernya.
“… sebaliknya rujuklah kepada sumber yang berautoriti dan bergurulah dengan para ilmuwan yang diiktiraf. Kepada seluruh rakyat beta, peliharalah perpaduan serta hormatilah institusi yang diamanahkan mengurus hal ehwal Islam.
“Telitilah sejarah dengan jujur, bahaskan perbezaan dengan adab dan kemukakan cadangan yang berpijak kepada realiti,” titah baginda.
Terdahulu Sultan Sharafuddin berkenaan melancarkan Buku Sheikhul Islam dan Mufti-Mufti Selangor (1930 hingga 2021), Buku Kompilasi Artikel Fatwa Tahun 2001 - 2005 (Jilid 1), dan Sistem e-Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor.
-- BERNAMA