KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.383 bilion, merangkumi RM1.087 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM296 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata belanjawan bertemakan “Kelantan Prihatin: Penghayatan Membangun Bersama Islam” itu digerakkan menerusi empat teras utama, iaitu pemerkasaan agama dan pembangunan modal insan; kesejahteraan sosial dan perlindungan rakyat; ekonomi progresif dan berdaya tahan; serta kelestarian alam sekitar dan keindahan bandar.
Beliau berkata anggaran hasil negeri bagi 2027 ialah RM1.082 bilion, terdiri daripada hasil cukai sebanyak RM238.8 juta, hasil bukan cukai (RM314.5 juta) dan terimaan bukan hasil (RM529.29 juta).
“Perbezaan antara anggaran hasil dengan perbelanjaan mengurus menunjukkan kurangan sebanyak RM4.31 juta. Kedudukan ini menuntut disiplin fiskal yang konsisten melalui kawalan perbelanjaan, pengukuhan kutipan hasil dan penilaian semula terhadap projek yang kurang mendesak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata dalam keadaan ruang fiskal yang terbatas, kerajaan negeri mengutamakan perbelanjaan yang melindungi kesejahteraan rakyat, menyokong perkhidmatan asas dan membawa manfaat ekonomi jangka panjang.
Beliau berkata setiap keputusan perbelanjaan perlu mengambil kira kemampuan kewangan, tahap kesiapsiagaan projek serta keupayaan pelaksanaan.
“Hasil tanah dianggarkan sebanyak RM373.57 juta, hasil hutan RM70.4 juta dan hasil perlombongan RM48.41 juta.
“Sumber negeri perlu diurus supaya memberikan pulangan yang adil, mematuhi keperluan yang berkuat kuasa dan memelihara alam sekitar. Dalam masa yang sama, kecekapan kutipan hasil sedia ada perlu dipertingkatkan agar hak negeri dapat dipungut dengan teratur,” katanya.
Persidangan DUN Kelantan bersambung Ahad ini.
-- BERNAMA