PHUKET: Perbandaran Bandaraya Phuket mengeluarkan amaran banjir tahap merah pada jam 7.40 pagi Khamis, menggesa penduduk dan premis perniagaan di sepanjang Terusan Bang Yai memindahkan barangan ke tempat tinggi susulan hujan lebat yang berterusan, lapor The Nation.
Pihak berkuasa tempatan turut menggesa penduduk yang tinggal berhampiran terusan berkenaan supaya segera mengalihkan peralatan elektrik dan barangan berharga bagi mengurangkan risiko kerosakan akibat banjir.
Hujan lebat yang melanda Phuket bersama aliran air dari kawasan berdekatan menyebabkan paras air di terusan itu meningkat dengan cepat.
Pihak perbandaran memberi amaran bahawa hujan berterusan boleh menyebabkan air bertakung sehingga mengakibatkan limpahan air terusan ke kawasan perumahan.
Pegawai bertugas kini sedang menyelaraskan langkah keselamatan bersama agensi berkaitan bagi memantau lokasi berisiko, selain meminta penduduk sentiasa mengikuti pengumuman rasmi.
Sementara itu, Perbandaran Karon menutup sementara Jalan Khok Tanot selepas laluan berkenaan ditenggelami air, manakala Perbandaran Chalong menggesa pengguna jalan raya mengelakkan laluan di persimpangan lampu isyarat kawasan berkenaan berikutan paras air yang terlalu tinggi untuk dilalui kenderaan kecil.
Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat melanda 70 peratus kawasan di pantai barat selatan negara itu, dengan hujan sangat lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Phuket.
Laporan jabatan itu berdasarkan pemerhatian radar menunjukkan hujan sederhana hingga sangat lebat berlaku di sembilan wilayah selatan Thailand.
Jabatan berkenaan berkata keadaan cuaca tersebut dipengaruhi oleh sistem tekanan rendah di Laut Andaman serta angin timur yang bertiup merentasi Thailand dan Teluk Thailand.
Selain itu, sistem tekanan tinggi atau jisim udara sejuk dari China dilaporkan sedang meliputi kawasan utara Thailand dan Laut China Selatan.
Keadaan itu turut menyebabkan ombak di Laut Andaman dan Teluk Thailand berpotensi melebihi dua meter ketika hujan lebat.
Pengendali bot digesa memeriksa laluan pelayaran mereka serta mengemudi dengan berhati-hati, manakala bot kecil dinasihatkan supaya tidak keluar ke laut sehingga keadaan cuaca kembali selamat.