Skip to main content

Bisnes

Pos Malaysia sasar 70,000 pelanggan Pos ArRahnu Gold-i pada tahun pertama

KUALA LUMPUR, 13 Julai -- Ketua Pos ArRahnu Mohammed Zubair Peerpulavar ditemui media selepas majlis pelancaran Pos ArRahnu Gold-i di sini hari ini.  Pos Malaysia Bhd menyasarkan antara 50,000 hingga 70,000 pelanggan bagi perkhidmatan emas digital patuh Syariah yang baharu dilancarkan, Pos ArRahnu Gold-i, dalam tempoh tahun pertama.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohammed Zubair ditemui media selepas majlis pelancaran Pos ArRahnu Gold-i di Kuala Lumpur hari ini. -- fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd menyasarkan sehingga 70,000 pelanggan bagi perkhidmatan emas digital patuh Syariah yang baharu dilancarkan, Pos ArRahnu Gold-i, dalam tempoh tahun pertama.

Ketua Pos ArRahnu Mohammed Zubair Peerpulavar berkata Pos ArRahnu Gold-i, yang dilancarkan menerusi kerjasama dengan Go Capital Growth Sdn Bhd, menyasarkan golongan pelabur serta pasaran massa.

"Kami lebih memberi tumpuan kepada pelanggan dalam kumpulan B40 dan M40," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pos ArRahnu Gold-i di sini hari ini.

Dalam kenyataan berasingan, Pos Malaysia memaklumkan perkhidmatan emas digital itu menggabungkan kepakaran Go Capital Growth dalam pelaburan emas dengan platform yang mudah dan selamat, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia memulakan simpanan dan pelaburan emas serendah RM10.

Menurut syarikat itu, perkhidmatan berkenaan menyediakan kaedah yang praktikal dan mudah diakses untuk rakyat Malaysia memulakan simpanan emas.

"Pos ArRahnu Gold-i memenuhi permintaan ini dengan merendahkan nilai penyertaan minimum serta memudahkan akses kepada penyimpan kali pertama, golongan pekerja muda, keluarga dan pelanggan B40.

"Berteraskan lebih 200 tahun kepercayaan serta rangkaian di seluruh negara, Pos Malaysia terus memperluas perkhidmatannya melangkaui perkhidmatan pos dan logistik tradisional bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berkembang menerusi penyelesaian yang mudah, praktikal dan bernilai tambah," menurut Pos Malaysia.

Pos Malaysia turut memaklumkan emas yang ditawarkan menerusi Pos ArRahnu Gold-i disokong oleh akreditasi dan pengesahan daripada badan berkaitan yang diiktiraf, termasuk London Bullion Market Association (LBMA), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), sekali gus memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada pelanggan terhadap ketulenan, kualiti dan ketelusan emas berkenaan.

Perkhidmatan itu membolehkan pelanggan membeli, menjual serta mengumpul emas secara digital pada harga pasaran semasa, menikmati antara spread emas terendah di pasaran, selain menukarkan pegangan emas digital kepada emas fizikal atau wang tunai mengikut keperluan.

Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional itu memaklumkan Pos ArRahnu Gold-i menggabungkan rangkaian Pos Malaysia di seluruh negara dengan jaminan ketulenan emas yang diiktiraf, nilai penyertaan minimum yang rendah serta fleksibiliti kepada pelanggan untuk membeli, menjual atau menukarkan emas melalui saluran digital atau di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.

Bersempena pelancarannya, Pos ArRahnu turut memperkenalkan beberapa produk emas terpilih, termasuk jongkong emas edisi khas seberat satu gram "Pos World" yang dihadkan kepada 500 unit.

Jongkong emas itu akan ditawarkan bersama-sama produk emas lain di cawangan Pos ArRahnu di seluruh negara.

Pos ArRahnu Gold-i boleh didapati mulai hari ini menerusi cawangan Pos ArRahnu yang mengambil bahagian di seluruh negara serta platform perkhidmatan digitalnya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement