Ringkasan AI
- Puluhan ribu pelajar dijangka mengadakan demonstrasi di seluruh Jerman pada Sabtu membantah pemotongan perbelanjaan sosial dan rancangan kerahan tentera wajib.
- Demonstrasi dianjurkan inisiatif Gen Z Regelt menuntut peningkatan peruntukan pendidikan serta langkah menangani krisis kos sara hidup di lebih 30 bandar utama.
- Pihak berkuasa mempertingkat kawalan keselamatan, sementara beberapa organisasi pelajar utama menyuarakan kebimbangan mengenai ketelusan penganjur demonstrasi.
BERLIN: Puluhan ribu pelajar dijangka mengadakan demonstrasi di seluruh Jerman pada Sabtu bagi membantah pemotongan perbelanjaan sosial dan rancangan menghidupkan semula khidmat kerahan tentera wajib, menurut penganjur, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Demonstrasi yang dianjurkan oleh inisiatif belia baharu dikenali sebagai Gen Z Regelt atau Gen Z Mengambil Tindakan, itu turut menuntut peningkatan peruntukan pendidikan serta langkah menangani krisis kos sara hidup.
Perarakan besar-besaran dirancang berlangsung di Berlin, Hamburg, Munich, Frankfurt dan Cologne, manakala demonstrasi tambahan dijadualkan di 29 bandar lain.
Menurut penganjur, hampir 175,000 orang mendaftar secara dalam talian untuk menyertai demonstrasi berkenaan.
Inisiatif yang dianggotai pelajar sekolah menengah dan universiti itu menyatakan di laman sesawangnya bahawa mereka menolak keganasan dan berhasrat mengadakan perarakan secara aman.
Kumpulan itu mengkritik pemotongan perbelanjaan sosial, tindakan kerajaan menangani krisis iklim serta apa yang disifatkannya sebagai kegagalan menangani kebimbangan golongan muda berhubung peperangan dan konflik.
Kumpulan itu turut menentang rancangan menghidupkan semula kerahan tentera wajib dan menggesa peningkatan pelaburan dalam sektor pendidikan.
Meskipun pada awalnya mendapat sokongan daripada beberapa kumpulan belia, sebahagian organisasi menjauhi daripada seruan demonstrasi itu pada minggu lepas.
Organisasi pelajar terbesar negara itu, BSK, dan Jusos, sayap belia Parti Demokratik Sosial berhaluan kiri tengah, menyatakan kebimbangan berhubung kekurangan ketelusan.
Mereka menyifatkan inisiatif itu sebagai gabungan longgar berasaskan internet, sambil mempersoalkan pihak yang berada di sebalik seruan berkenaan serta kesukaran menghubungi penganjur menjelang acara di peringkat tempatan.
Parti Hijau yang mencintai alam sekitar dan Parti Kiri berhaluan sosialis menyatakan sokongan terhadap demonstrasi itu.
Pengerusi bersama kumpulan parlimen Parti Hijau Katharina Droege berkata golongan muda berasa kecewa kerana Kerajaan Persekutuan tidak mengambil serius kebimbangan mereka.
Beliau menggesa Canselor Friedrich Merz supaya menjemput wakil golongan muda ke Pejabat Canselor untuk mengadakan perbincangan.
"Canselor sepatutnya mendengar kritikan golongan muda dan mengambil serius kebimbangan mereka," kata Droege kepada media tempatan.
Pengerusi bersama Parti Kiri Luigi Pantisano, turut menyatakan sokongan terhadap penyertaan dalam demonstrasi secara aman.
"Kami menolak sekeras-kerasnya kempen memburukkan pihak penganjur yang digunakan oleh golongan berhaluan kanan dalam politik dan media untuk menyasarkan demonstrasi yang dirancang itu," katanya.
Pantisano berkata puluhan ribu anak muda mahu berhimpun secara aman bagi menuntut pendidikan yang lebih baik dan kos sara hidup yang berpatutan, selain membantah peperangan serta pemotongan perbelanjaan sosial.
"Usaha menimbulkan ketakutan secara keterlaluan dan prejudis itu jelas menunjukkan satu perkara: pihak yang mendapat manfaat daripada masalah sedia ada dan dasar Kerajaan Merz bimbang terhadap tentangan yang semakin meningkat," katanya.
"Bagi kami, pendirian ini jelas: kami berdiri teguh dalam solidariti bersama golongan muda."
Polis Jerman mengumumkan langkah untuk menempatkan anggota dalam jumlah besar di beberapa bandar menjelang demonstrasi pada Sabtu.
Pemilik kedai dan pengusaha butik mula memasang papan kayu sebagai perlindungan pada premis perniagaan masing-masing, dengan beberapa kedai mewah di pusat bandar Berlin, Frankfurt dan Cologne dilindungi menggunakan papan berkenaan.
Di North Rhine-Westphalia, pihak berkuasa berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kira-kira 44,000 orang mendaftar untuk menyertai demonstrasi di seluruh negeri itu, menurut penganjur.
Polis di Duesseldorf menahan empat lelaki pada Jumaat kerana disyaki merancang melakukan keganasan terhadap anggota polis dan kegiatan mencuri, lapor agensi berita Jerman DPA.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada suspek berkenaan berniat menyertai demonstrasi itu, menyokong tuntutan mereka atau mengambil kesempatan daripada perhimpunan.
Menteri Dalam Negeri North Rhine-Westphalia Herbert Reul berkata demonstrasi merupakan hak yang sah, namun memberi amaran terhadap keganasan ekstremis.
"Gambaran dari Perancis dan Itali amat mengejutkan. Individu daripada golongan ekstremis berhaluan kiri dilihat kini mahu menggerakkan tindakan serupa di sini," kata Reul kepada media tempatan.
"Sesiapa yang menyalahgunakan demonstrasi di North Rhine-Westphalia untuk menghasut kebencian dan mencetuskan kekacauan akan berdepan tindakan tegas pasukan polis. Kami tidak akan membiarkan kumpulan perusuh memusnahkan bandar-bandar kami," katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU