Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Potensi besar kerjasama perniagaan Malaysia-Finland - Duta

Malaysia - Finland business collaboration
Satu majlis resepsi sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 diadakan di Helsinki pada Selasa. - Foto Kedutaan Besar Malaysia di Helsinki
Advertisement

KUALA LUMPUR: Terdapat potensi besar untuk syarikat perniagaan Malaysia dan Finland bekerjasama dalam bidang seperti pendigitalan, kecerdasan buatan, ekonomi kitaran, tenaga boleh baharu, pembuatan termaju dan pendidikan, kata Duta Besar Malaysia ke Finland Datuk Amarjit Sarjit Singh.

 Berucap pada majlis resepsi sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 di Helsinki pada Selasa, beliau berkata Finland diiktiraf secara meluas atas pencapaiannya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, inovasi dan peralihan hijau.

 "Malaysia pula menawarkan ekonomi yang dinamik, penduduk yang muda dan pelbagai, hubungan strategik serta akses kepada pasaran ASEAN yang berkembang pesat. Kekuatan yang saling melengkapi ini menyediakan asas kukuh untuk kerjasama yang lebih erat," katanya.

 Teks ucapan beliau diperoleh Bernama pada Rabu.

 Menurut duta itu, Malaysia dan Finland mungkin berjauhan dari segi geografi, namun kedua-dua negara sebenarnya lebih dekat daripada yang digambarkan pada peta.

 "Kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik sejak 1973 dan selama ini hubungan kita berkembang melangkaui diplomasi, merangkumi perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi dan kelestarian," katanya.

 Amarjit turut menggalakkan syarikat, pelabur, universiti dan institusi penyelidikan Finland supaya melihat Malaysia dan ASEAN dengan minat baharu, sambil menyatakan bahawa Malaysia bukan sahaja boleh menjadi destinasi, malah berfungsi sebagai pintu masuk ke Asia Tenggara.

 Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Helsinki dalam kenyataannya memaklumkan bahawa majlis resepsi itu turut diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Oulu Ari Alatossava, selaku tetamu kehormat. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Asia dan Oceania, Kementerian Luar Finland Keijo Norvanto.

 Dalam ucapannya, Alatossava menyampaikan ucapan tahniah sempena Hari Kebangsaan Malaysia serta menekankan kepentingan kerjasama dan perkongsian antarabangsa.

 Beliau berkata walaupun Oulu dan Malaysia terpisah dari segi geografi, kedua-duanya mempunyai hubungan kukuh khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan, teknologi dan inovasi, dengan pelajar, ahli akademik dan golongan profesional Malaysia memberikan sumbangan penting kepada ekosistem antarabangsa dan inovasi Oulu.

 Menurut kedutaan itu, Majlis Resepsi Hari Kebangsaan ke-69 menjadi acara bermakna untuk meraikan pencapaian penting negara, selain mengukuhkan semula hubungan persahabatan yang erat dan sekian lama terjalin antara Malaysia dan Finland.

Majlis resepsi itu turut menjadi platform untuk menggalakkan penglibatan lebih luas antara kedua-dua negara, termasuk dengan rakan kerjasama dan pihak berkepentingan di Oulu serta Finland Utara.

 -- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement