Skip to main content

Malaysia

PRN Melaka ke-16 bermula esok dengan penamaan calon, 28 kerusi jadi rebutan 

Petugas SPR Nur Iliana Azman melakukan persiapan bagi proses penamaan calon kerusi DUN N17 Bukit Katil ketika tinjauan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka, hari ini. --fotoBERNAMA
Petugas SPR Nur Iliana Azman melakukan persiapan bagi proses penamaan calon kerusi DUN N17 Bukit Katil ketika tinjauan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka, hari ini. --fotoBERNAMA

Advertisement

MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 membuka tirai esok dengan proses penamaan calon, sekali gus menandakan bermulanya persaingan merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tempoh berkempen selama 14 hari.

Tumpuan terarah kepada 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri apabila calon daripada parti yang bertanding bakal mengemukakan kertas pencalonan masing-masing bermula 9 hingga 10 pagi, sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan senarai muktamad calon yang layak bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Melaka pada 14 Nov manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 687,697 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini membabitkan 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.

Kurang 24 jam menuju hari penamaan calon, peta persaingan semakin jelas apabila parti politik mengumumkan senarai calon masing-masing yang menampilkan gabungan dinamik melibatkan penyandang, muka baharu serta kemunculan semula bekas pemimpin.

Bagi PRN Melaka kali ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan bertanding di 24 kerusi DUN membabitkan 10 calon daripada PKR, tujuh calon DAP dan tujuh calon Parti Amanah Negara (Amanah).

Barisan Nasional (BN) pula mengumumkan bertanding di 22 kerusi, melibatkan 18 calon UMNO, tiga calon MCA dan seorang calon MIC.

Rakan strategik BN iaitu Perikatan Nasional (PN) pula mengumumkan calon di lima kerusi setakat ini melibatkan dua calon PAS, Parti Wawasan Negara (dua) dan Gerakan (satu), manakala satu lagi kerusi masih belum dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula akan bertanding di lapan kerusi.

Parti Bersama Malaysia (Bersama) turut mengumumkan untuk bertanding pada PRN kali ini dengan mempertaruhkan 16 calon.

Sementara itu, Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan 189 borang penamaan calon dibeli bagi PRN Melaka setakat malam tadi, dengan 45 bakal calon telah menjelaskan bayaran deposit.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus sebelum ini memaklumkan kertas penamaan calon perlu diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon, pencadang dan penyokong, mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

Beliau turut menyarankan bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum hari penamaan calon serta membuat pembayaran deposit lebih awal.

Resit pembayaran deposit tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran, manakala bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon.   

Dalam pada  itu, ramalan cuaca khas yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca cerah sepanjang hari di seluruh kawasan di Melaka esok.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 Sept lepas selepas mendapat perkenan daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Pada PRN Melaka 2021, BN membentuk kerajaan selepas menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan, manakala PH menang lima kerusi dan PN dengan dua kerusi.

-- BERNAMA

   

TAG: PRN Melaka, penamaan calon, politik, SPR, DUN

Must Watch Video

Advertisement