KUALA LUMPUR: Penumpang yang dijadual berlepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini hingga Ahad (1 Nov) dinasihat supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan berikutan jangkaan kesesakan lalu lintas yang tinggi.
Malaysia Airlines dalam kenyataan menerusi media sosial memaklumkan kesesakan jalan raya dijangka berlaku di kawasan sekitar serta lebuh raya menuju ke KLIA sempena penganjuran Grand Prix Motosikal Malaysia PETRONAS 2026 (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS.
"Walaupun laluan akses ke KLIA kekal dibuka sepenuhnya, penumpang digesa memantau kemas kini trafik semasa yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Orang ramai turut dinasihatkan merancang laluan alternatif atau menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres bagi memastikan mereka tiba tepat pada waktunya di lapangan terbang," menurut kenyataan itu.
Important Notice: Passengers travelling from Kuala Lumpur International Airport (KLIA) between 30 October and 1 November 2026 are advised to allow additional travel time due to expected traffic congestion surrounding the PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 (MotoGP) at the Sepang International Circuit. Passengers are encouraged to plan their journeys ahead, consider alternative routes or the KLIA Ekspres, and arrive at KLIA at least 3 hours before international departures and 2 hours before domestic departures. For more information and the latest updates, please visit: https://t.co/XypXkSl6Ez
— Malaysia Airlines (@MAS) October 30, 2026
Bagi mengelakkan sebarang kelewatan, syarikat penerbangan nasional itu meminta penumpang penerbangan antarabangsa untuk tiba di KLIA sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu pelepasan, manakala bagi penerbangan domestik pula sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu berlepas.
Malaysia Airlines turut mengingatkan bahawa kaunter daftar masuk akan ditutup 60 minit sebelum waktu pelepasan bagi kedua-dua segmen penerbangan berkenaan.