ANKARA: Pound Britain mencatat kenaikan berbanding dolar AS selepas peletakan jawatan Liz Truss sebagai perdana menteri pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

Sterling didagangkan melebihi AS$1.125 pada sebelah petang selepas mencecah AS$1.13 pada awal sesi.

Perletakan jawatan Truss susulan belanjawan mini yang dibentangkan kerajaannya serta idea beliau mencetuskan pergolakkan dalam pasaran kewangan dan ekonomi, beberapa siri peletakan jawatan lain dan pemecatan dalam kerajaannya, serta isu disiplin dan perpaduan dalam Parti Konservatif.

Truss merupakan perdana menteri paling singkat pernah berkhidmat dalam sejarah Britain dengan hanya 44 hari memegang jawatan.

Nilai pound Britain susut hampir 17 peratus berbanding dolar AS sejak awal tahun ini, ketika negara itu berhadapan dengan inflasi yang melonjak dan bil tenaga yang tinggi.

Menurut data terkini, kadar inflasi tahunan rakyat di Britain meningkat kepada 10.1 peratus pada September.

Bank of England menaikkan kadar asasnya sebanyak 50 mata asas kepada 2.25 peratus daripada 1.75 peratus - iaitu kenaikan ketujuh berturut-turut oleh bank pusat itu.

-- BERNAMA