Skip to main content
Advertisement

Malaysia

CSA MADANI: Pintu rundingan masih 'terbuka' untuk Ahli Parlimen lain - Fahmi

Fahmi berkata kerajaan juga bercadang mengguna pakai mekanisme penilaian bersama (joint assessment) bagi memantau janji reformasi. - Gambar Astro AWANI
Fahmi berkata kerajaan juga bercadang mengguna pakai mekanisme penilaian bersama (joint assessment) bagi memantau janji reformasi. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

Advertisement

PUTRAJAYA: Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) atau Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai di Parlimen semalam tidak terhad kepada 13 Ahli Parlimen berkenaan sahaja, sebaliknya pintu perbincangan kekal terbuka kepada mana-mana wakil rakyat lain.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pemeteraian dokumen persefahaman tersebut merupakan satu anjakan positif terhadap kestabilan politik negara serta memperkukuh iltizam dalam menjayakan agenda reformasi institusi.

"Ini merupakan satu perkembangan yang positif terhadap kestabilan politik negara serta mencerminkan semangat kebersamaan dalam melaksanakan beberapa usaha reformasi institusi.

Advertisement

"Tindakan menandatangani MoU ataupun CSA ini tidak terbatas kepada 13 orang ahli parlimen ini sahaja, dan terbuka kepada mana-mana ahli parlimen yang berhasrat untuk datang berbincang dan menandatangani CSA. Jadi pintu perbincangan itu kekal terbuka," katanya dalam sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini, pada Jumaat.

Pada Khamis, landskap politik tanah air mencatat lembaran baharu apabila seramai 13 Ahli Parlimen memeterai perjanjian persefahaman rasmi bersama kerajaan di Bangunan Parlimen, bertujuan menjamin kestabilan pentadbiran dan menyokong kelulusan rang undang-undang utama di Dewan Rakyat.

Advertisement

Sebagai timbal balas, persefahaman dwipartisan itu menggariskan komitmen bersama terhadap pelaksanaan beberapa siri agenda reformasi institusi, semak dan imbang, serta peruntukan kawasan yang lebih adil demi kepentingan rakyat.

Mengulas mengenai pemantauan pelaksanaan janji reformasi yang termaktub dalam dokumen berkenaan, Fahmi menjelaskan kerajaan bercadang mengguna pakai mekanisme semakan bersama (joint assessment) seperti model persefahaman politik yang pernah dilaksanakan pada sesi Parlimen terdahulu (2021–2022).

"Dari segi mekanisme yang dibangunkan sewaktu CSA tahun 2021–2022, memang ada joint assessment daripada kedua-dua pihak untuk mengesahkan perkara-perkara yang telah dijanjikan itu dilaksana.

"Kita lihat itu mungkin satu cara untuk kita laksanakan sama seperti apa yang pernah kita saksikan dahulu. Pihak kerajaan berhasrat untuk melaksanakan apa yang kita telah janjikan dalam CSA ini dan ia amat penting, terutama aspek-aspek reformasi institusi," katanya.

Must Watch Video

Advertisement