Memilih menggunakan modal RM1,000 hasil Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk menghidupkan kembali perniagaannya, seorang ibu tunggal berjaya meraih pendapatan sekitar RM2,000 sehari dengan mengusahakan perniagaan barangan basah siap siang.

Siti Hartika Shaari, 32 tahun, berharap perniagaannya, mampu diperluaskan lagi melalui Bantuan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun lalu.

Ibu kepada seorang anak itu, berkata kerajaan bertindak pantas dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PENJANA yang membuka semula ruang untuk usahawan kecil sepertinya bernafas.

Menurutnya, adalah menjadi impiannya untuk memiliki sebuah kedai supaya dapat mengusahakan perniagaan secara serius, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu membantu ekonomi lebih ramai individu.

Mengakui pendapatannya sedikit terjejas sehingga lebih 50 peratus susulan pelaksanaan PKPP berbanding PKPB, setidak-tidaknya masih ada kesinambungan bantuan daripada kerajaan di bawah PENJANA.

“Berbanding sewaktu PKP dan sekarang, memang berbeza kerana sewaktu PKP memang banyak permintaan.

“Apabila bermulanya PKPP, orang sudah mula keluar, kehidupan seperti biasa. Tapi kita memang sudah ada pelanggan tetap,” katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, dia mengharapkan melalui PENJANA, lebih ramai kumpulan sasar mampu mendapat manfaat dalam mendepani impak COVID-19.

“Sebenarnya, bantuan-bantuan yang kerajaan bagi contoh KWSP yang boleh keluar RM500, sebenarnya ia sangat membantu.

“Banyak lagi suri rumah yang buat perniagaan untuk tolong naikkan pendapatan keluarga,” katanya,

Kisah inspirasi itu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat termasuk liputan media yang meluas sehinggakan perniagaan secara kecil-kecilan yang dijalankan di rumah sewa di Kampung Paya Ikan, Melaka semakin dikenali.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM700 juta dalam perutusan khas PENJANA bagi membantu syarikat mendigitalkan operasi dan saluran perdagangan mereka.