Skip to main content

Malaysia

Lelaki mengaku bersalah cuba bunuh, rogol dirujuk ke Hospital Bahagia

Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar memerintahkan seorang lelaki yang mengaku bersalah atas pertuduhan cuba membunuh dan merogol seorang wanita untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan. - Foto Bernama
Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar memerintahkan seorang lelaki yang mengaku bersalah atas pertuduhan cuba membunuh dan merogol seorang wanita untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA KANGSAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki yang mengaku bersalah atas pertuduhan cuba membunuh dan merogol seorang wanita untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.

Hakim Nuur Hafiedzah Md Daud mengeluarkan perintah itu terhadap Marwan Mohd Nor, 38, mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah selepas meneliti keadaan lelaki itu ketika membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Marwan juga meminta mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum bagi pertuduhan merogol.

Advertisement

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa cuba membunuh seorang wanita berusia 20 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di tepi jalan FELDA Lasah ke Lintang, di Lubuk Kelah Lintang, Sungai Siput pada 11.20 malam 3 Nov.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Advertisement

Selain itu, lelaki itu didakwa merogol mangsa di lokasi dan pada waktu sama dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 21 Dis untuk sebutan semula kes dan mendapatkan laporan psikiatri.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia Inspektor Nor A’in Ahmad.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement