Meningkatkan kualiti kereta nasional dan membetulkan salah faham sebelum ini akan menjadi pemacu utama cadangan pelan pemulihan yang disediakan untuk Proton Holdings.

Menurut Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pelan itu yang dijadual diumum bulan depan, bermatlamat menyediakan penyelesaian jangka pendek dan jangka sederhana untuk meningkatkan imej Proton.

Dr Mahathir yang juga penasihat Proton, berkata pelan pemulihan itu juga akan menyaksikan Proton memberi lebih perhatian kepada pasaran eksportnya.

Ini memandangkan pasaran automotif domestik telah 'semakin tepu’ tahun demi tahun.

Mengakui kualiti yang lebih baik disertai dengan harga yang lebih tinggi, Dr Mahathir berkata Proton berada pada peringkat yang penting kerana ia perlu menghasilkan kereta yang berdaya saing di peringkat global .

Ini bagi bersaing dengan syarikat kereta asing yang membentuk sebahagian besar daripada jumlah keluaran Industri Automotif Malaysia.

Dr Mahathir yang menyatakan keyakinan terhadap pemilik baru Proton, DRB-Hicom Bhd.

Ujarnya konglomerat berkenaan komited untuk meningkatkan imej syarikat kereta nasional itu daripada hanya sebuah syarikat tempatan kepada pembuat kereta global dan dihormati.

Menurutnya lagi Proton mempunyai rancangan konkrit untuk melaksanakan strategi eksportnya dalam usaha meraih pendapatan lebih tinggi menerusi aliran pendapatan yang dipertingkat.