Proton peroleh alat ganti, komponen bernilai RM3.2 bilion daripada vendor tempatan tahun ini - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (lima, kiri) hadir pada pelancaran Proton Saga generasi baharu di MITEC, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Facebook Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd memperoleh alat ganti dan komponen bernilai RM3.2 bilion daripada vendor tempatan untuk tahun ini sahaja, sekali gus menunjukkan komitmennya terhadap rantaian bekalan setempat yang akan terus berkembang dari segi skala dan nilai.
Ringkasan AI
- Proton Holdings Bhd mendapat alat ganti bernilai RM3.2 bilion daripada vendor tempatan, menunjukkan komitmen kepada rantaian bekalan setempat yang berkembang.
- Peningkatan TIV Proton memberi manfaat kepada vendor Malaysia, sambil memperkuat industri automotif negara dengan platform EV dan ujian powertrain.
- Pelaburan EV Proton adalah peneraju transformasi Malaysia ke negara berteknologi tinggi, dengan usaha penyetempatan yang memacu pelaburan, menjana pekerjaan, dan meningkatkan nilai ekonomi.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada pelancaran Proton Saga generasi baharu di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam.
Tengku Zafrul berkata selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), pelaburan EV Proton dan usaha penyetempatan bukan sekadar strategi korporat tetapi merupakan peneraju transformasi Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi dan aktif secara digital.
"Komitmen ini juga memacu pelaburan yang menjana pekerjaan dan nilai ekonomi negara," katanya.
Program penyetempatan Proton telah memperkenalkan 18 teknologi baharu dan menjalin usaha sama dalam bidang utama seperti pam bahan api, modul anjakan gear elektronik dan sistem transmisi boleh ubah berterusan (CVT), pada masa sama mengembangkan asas vendor dan meningkatkan penguasaan teknologi.
"Usaha Proton dalam platform EV dan pembuatan canggih merupakan sumbangan penting kepada visi ini termasuk menerusi Lembah Teknologi Tinggi Automotif di Tanjong Malim, pembukaan kilang EV pertamanya, dan kerjasamanya dengan Institut Robotik dan IoT Automotif Malaysia (MARii) untuk menubuhkan Pusat Ujian Automotif Kebangsaan (NATC).
"Dasar-dasar di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) seperti Dasar Automotif Negara (NAP) dan NIMP 2030 telah memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan penggiat industri tempatan termasuk Proton," kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata dasar-dasar ini telah membolehkan pembangunan ekosistem yang menyokong, menggalakkan penaiktarafan teknologi, perkongsian strategik asing-tempatan dan peningkatan daya saing dalam pasaran domestik dan serantau.
"NAP adalah rangka kerja panduan kita untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan, kejuruteraan dan teknologi automotif.
"Keutamaannya termasuk membina ekosistem kenderaan generasi akan datang (NxGV), mengembangkan mobiliti sebagai perkhidmatan (MaaS) dan menyediakan industri untuk Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


